Thursday, August 7, 2025

Part of life

Nak capai sasaran itu satu bab, nak konsisten itu lagi mencabar sebenarnya. Rupanya dah 3 bulan lupa nak buat hantaran. Sekarang ini ada di klinik kesihatan, janji temu jam 9 pagi tadi, lagi 7 minit masuk pukul 11 pagi.

Ini sekadar rangkuman pengalaman yang mendewasakan. Selasa lepas ingat nak cabut gigi, tapi ada istilah yang direka sendiri: tsb-tampal selagi boleh. Makanya kalau sakit gigi lepas ini sama ada cabut atau rawatan akar bernilai selepas subsidi warganegara perlu dibayar dengan kadar RM4. Kemungkinan besar kalau sakit gigi lagi buat rawatan di cawangan kk lain gamaknya. 

Sekarang dah tak semudah dulu, walk in, tunggu boleh dapat rawatan. Tapi kena buat janji temu guna MySejahtera. Layan. Benda murah, harga yang perlu dibayar ialah masa menunggu. Masa itu yang dibayar sebenarnya. Ada bajet lebih, tak boleh nak tunggu, bayarlah sekian harga di klinik swasta. 

Bab kerja pula, dalam 3 bulan, mula Julai sampai hujung September ni masa penebusan baucar buku MADANI GURU 2025. Modus operandi yang diguna pakai, bawa surat kebenaran untuk berurusan dengan pengetua dan guru besar sekitar Selangor. Banyak sekolah dalam negeri merah kuning ini. Kita buat stail gerila, pergi pejabat, tunjuk surat, jumpa dengan GB atau pengetua jika dia ada. 

Skrip yang dilontar:

Saya datang ni ada 3 perkara, satu: Asuh, dua: pakej perpustakaan, tiga: tebus baucar buku MADANI GURU 2025. Kalau diizinkan, saya dah bawa siap laptop, saya sedia buka kaunter sampai jam 3 petang. Nak bantu guru-guru jadi pemudah cara bagi yang belum tebus lagi.

Simple. Kalau cikgu okey, saya stay. Kalau tak, saya tanya sekolah lain. 

Insya-Allah bulan 11, ada 2 perkara yang dirancang. Pertama fun run dengan kawan sekolah 2hb. Kedua baca doa untuk walimatul urus sepupu isteri 1hb. Makanya kena taip doa yang dah lama tak dibaca. Kita bantu mana mampu. 

Baiklah. Sekian dulu laporan dan rutin yang dirancang buat waktu ini. Alhamdulillah. Didoakan kita semua istiqomah dalam kebaikan, Allahumma aamiinn. 🤲🏽🍉

Thursday, April 17, 2025

Doa Selamat Akikah

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

kami memohon perlindungan-Mu dan menyerahkan kepada-Mu agama kami, jiwa kami, keluarga kami,

anak-anak kami, harta kami, dan segala sesuatu yang Engkau berikan kepada kami.

 

Ya Allah, tempatkanlah kami dan mereka dalam lindungan-Mu, dalam keamanan-Mu,

dan dalam perlindungan-Mu daripada setiap syaitan yang durhaka, daripada orang yang sombong dan zalim,

daripada mata yang jahat, daripada segala kejahatan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

Ya Allah, hiasilah kami dengan kesihatan yang baik dan keselamatan, serta teguhkanlah kami dengan ketaqwaan.

Lindungilah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan penyesalan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.

Ya Allah, ampunilah kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami dalam agama, sahabat-sahabat kami, orang yang mencintai kami kerana-Mu, orang yang berbuat baik kepada kami juga bagi semua orang beriman lelaki dan perempuan, serta orang-orang Islam lelaki dan perempuan,

wahai Tuhan sekalian alam.

 

Ya Allah, jagalah Naufal Alamar bin Aiman daripada segala keburukan dan maksiat. Jagalah dia dengan penjagaan dan tanggungan-Mu yang terpuji, dengan kebaikan dan perlindungan-Mu. Hiasi Naufal Alamar dengan akhlak mulia dan anugerah yang paling indah.

 

Ya Allah, jadikan kami semua sebagai ahli ilmu, ahli kebaikan, dan ahli al-Quran. Jangan kau jadikan kami dalam kalangan mereka yang Engkau murka dan sesat.

 

Semoga Allah mencurahkan selawat kepada junjungan kami Nabi Muhammad, keluarganya, serta para sahabatnya, dan kurniakanlah kepada kami kesempurnaan dalam mengikuti ajarannya secara zahir dan batin, dengan keselamatan dan kesejahteraan, dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Saturday, March 1, 2025

Bertangguh itu pencuri masa

Kononnya nanti, dah lajak masuk Mac. Patutnya sebulan paling tak satu pos, makanya cuba 2 bulan 1 perkongsian insya-Allah. Alhamdulillah Februari berjalan lancar sebagai bulan paling pendek dalam setahun. Berikut sedikit laporan tentang sekolah dan baki yang perlu dikejar:

sejak 1.11.2024: 114 sekolah/perpustakaan

2 bulan pertama 2025 sahaja: 114-41=73

target townhall 2025: 500 institusi

baki yang perlu diziarah: 500-73=427 (+-43 sekolah sebulan)

20 hari x 10 bulan = 200 hari (+- 2 ke 3 sekolah sehari)

Hari ni hari pertama bulan Ramadan, insya-Allah kita azam sehari 1 juz Al-Quran dibaca. Elak tidur lepas subuh, juga azam puasa gajet lagi-lagi sebelum tidur. Tidur awal, bangun awal, 3 sekolah 1 hari, pukul 4 petang balik rumah. Simple.

Didoakan Ramadan kita semua kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Allahumma aamiinn.


 

Friday, January 17, 2025

menulislah untuk terapi diri

 Alhamdulillah, 23.6.2010 pos pertama untuk blog ni, boleh klik pautan:

https://melesap.blogspot.com/search?updated-max=2010-07-01T19:40:00-07:00&max-results=20&start=237&by-date=false&m=0

Blog Archive