Tuesday, February 1, 2011

Sedikit panduan untuk suntingan manuskrip novel Islam

Hari ini saya akan senaraikan beberapa butir penting berkaitan suntingan yang dibuat oleh penyunting novel Islami. Untuk makluman penulis, novel Islami sangat teliti dari segi penyampaiannya, di mana penggunaan bahasanya dijaga supaya nilai-nilai Islam di dalamnya tidak lari.
Saya secara peribadinya suka cara sebegini, memandangkan hasil dari pembacaan ini akan menyerap ke dalam benak pembaca secara halus. Tentu elok jika pembaca muda kita sentiasa diserap dengan pemikiran-pemikiran yang terjaga dan penuh hikmah.
Sedikit senarai yang sempat saya lampirkan seperti di bawah. Terima kasih pada En Amir Hamzah, Editor perolehan GISB dan kumpulan Editor yang mengusahakannya. Mudah-mudahan panduan ini bermanfaat pada penulis-penulis kita.

Menggunakan perkataan mujurlah, syukurlah dan bukannya perkataan nasib baik [percaya kepada qada dan qadar (takdir), bukan nasib]

Menggunakan perkataan jika, andai, sekiranya, apabila dan bukannya perkataan kalau (kurangkan penggunaan kalau)

Sebagaimana yang anda maklum, Novel Islami amat mementingkan nilai tarbiah di dalamnya. Pemilihan kata yang kurang sesuai juga memainkan peranan yang penting kepada pemahaman sesuatu ayat yang dibuat.
Contoh kesilapan: Andai sahaja mereka berasal daripada orang berada, Mutharah pasti lagi di sisi.
* Penggunaan perkataan pasti membawa maksud bahawa sekiranya mereka mempunyai banyak duit, pasti Mutharah masih lagi hidup, seolah-olah membawa maksud bahawa duit mempunyai kuasa untuk menyelamatkan nyawa seseorang.
Sepatutnya: Andai sahaja mereka berasal daripada orang berada, Mutharah mungkin lagi di sisi.
Perkataan mungkin dicadangkan kerana perkataan ini lebih sesuai untuk memberitahu pembaca bahawa duit merupakan perantara semata-mata yang tidak menentukan hidup mati seseorang.

Penggunaan istilah tiba-tiba diharapkan dapat dikurangkan (jika boleh). Walaupun penggunaannya untuk mewujudkan perasaan cemas atau kejutan kepada pembaca, penulis boleh menggantikannya dengan frasa seperti tidak semena-semena, tanpa diduga, dengan mengejut, secara mendadak, entah dari mana atau sebagainya. Ini kerana, istilah tiba-tiba seolah-olah menunjukkan sesuatu kejadian itu berlaku dengan sendirinya. Maksudnya di sini, istilah ini memberi makna tanpa kiasan. Walau apa pun, kita semua tahu bahawa setiap kejadian itu berlaku melainkan yang telah ditetapkan-Nya. Itulah dia, tiada satu perkara yang berlaku dengan tiba-tiba. Jadi, frasa yang saya beri sebagai contoh itu sebagai kiasan supaya pembaca tidak lupa akan hakikat sesuatu kejadian yang berlaku itu adalah sudah pun ditetapkan oleh-Nya.

Istilah solat lebih wajar digunakan sekiranya merujuk kepada ibadat orang Islam berbanding sembahyang. Perkataan sembahyang digunakan apabila merujuk kepada amalan orang bukan Islam.

Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam ungkapan yang berhubungan dengan kitab suci dan nama Allah, termasuk kata ganti untuk Allah. solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak; nama subjek seperti Matematik, Bahasa Melayu dll.
Contoh kesilapan: Seperti aku mencintaimu
Sepatutnya: Seperti aku mencintai-Mu
Contoh kesilapan: Jagalah amanah Tuhan dan tinggalkan larangannya.
Sepatutnya: Jagalah amanah Tuhan dan tinggalkanlah larangan-Nya.
* Tanda sempang digunakan untuk merangkaikan kata dengan kata ganti nama Allah

Bilangan ayat al-Quran ditulis begini
Contoh kesilapan: ‘Surah Yusuf ayat 92’
Sepatutnya: (Yusuf 12:92)
Contoh kesilapan: Surah al-Baqarah ayat 53
Sepatutnya: (Al-Baqarah 2:53)
Firman Allah SWT, “Janganlah kamu lemah dan jangan pula berduka cita, sedang kamu orang yang lebih tinggi jika kamu beriman.” (Ali Imran 3:139)

Bagi hadis pula, ditulis begini- Sabda Rasulullah SAW, daripada Fadhalah bin Ubaid r.a., “Berbahagialah orang yang diberikan hidayat kepada Islam. Manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada.” (Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW, “Dinikahi perempuan itu kerana hartanya dan keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beroleh keuntungan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pemilihan nama yang islami juga adalah dititikberatkan. Watak seperti Razak dan Rahim (nama-nama Allah) diharap dapat ditukarkan kepada nama lain yang tidak memerlukan panggilan Abdul atau nama penuh apabila ditulis. Jika masih ingin menggunakan nama-nama seperti ini juga, hendaklah ditulis penuh.

*credit to:http://nurulsham-saidin.blogspot.com/2010/12/sedikit-panduan-untuk-suntingan.html

1 comment:

melesap said...

Al haqeerah said:
Novel genre tarbiah mempunyai kualiti tersendiri. Berbeza dengan novel yang sekadar bercerita tanpa 'isi Islam'.

Doakan ya atas perkongsian ini=)