Friday, October 5, 2012

CERPEN: CARILAH JODOH DALAM DIRIMU

Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN

penang

Pernah seorang ustaz memberitahu aku, “Carilah jodoh kamu di dalam diri kamu.” Pada mulanya, aku tidak faham dengan maksud kata-kata itu. Bagaimana aku mahu mencari jodoh dalam jasad aku?
“Jangan kamu cari wanita solehah itu di masjid, kamu tidak akan berjumpanya.” Aku bertambah-tambah tidak faham. Jika tidak di masjid, di manakah wanita solehah berada?
“Carilah pasangan yang sekufu dengan kamu?”
“Sekufu? Apakah maknanya, ustaz?”
“Sekufu itu maknanya, sama tahap iman dan taqwa. Allah menjadikan seseorang sebagai pasangan untuk kamu sesuai dengan tahap iman dan taqwa yang kamu miliki. Jika kamu mahu melihat tahap iman dan takwa seseorang, lihatlah siapa pasangannya.” Aku mulai faham sedikit tapi tidak begitu jelas.
“Jadi, apa yang perlu saya lakukan, ustaz?”
“Jika kamu mahukan isteri yang solehah, terlebih dahulu perbaikilah amal soleh kamu dahulu. Insya-Allah, Allah akan mudahkan kamu untuk mendapat isteri yang solehah. Yakinlah dengan janji Allah.
Itulah maksud saya. Carilah pasangan yang solehah dalam diri kamu.”
Barulah aku faham apa yang ustaz itu cuba jelaskan.
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”(Surah At-Taubah ayat 129)

***
MASA berlalu begitu pantas. Sama ada sedar atau tidak, sudah beberapa tahun aku meninggalkan universiti. Namun, kenangan pahit dan manis itu sentiasa terpahat dalam memori. Aku tidak mungkin melupakan bandar ini. Bandar ini begitu sentimental buat diriku walaupun pada orang lain, ia tidak beerti apa-apa. Hanya sekadar hutan batu kota raya. Pepatah ada mengatakan, ‘Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat belajar.’ Niat asalnya, aku datang ke sini untuk memburu cita-cita duniawi tetapi Allah telah menyelamatkan aku daripada perangkap itu. Aku mula membetulkan niat bahawa segala cinta dan cita-cita aku hanya untuk menyukakan Allah. Aku mahu Allah sentiasa menyayangi aku.
Selama ini aku mencari dua perkara dalam kehidupan. Aku mahukan kesenangan yang tidak ada kesulitan. Aku mahukan ketenangan yang tidak ada kegusaran. Kedua-duanya hanya akan diperolehi dengan mengamalkan agama dengan ikhlas. Jika aku rasa Allah sentiasa bersama-sama aku, mengapa perlu aku gusar dan sulit? Aku perlu betulkan yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik Penolong dan Penyelamat.
Aku telah melalui sebuah perjalanan yang mematangkan dan mendewasakan keremajaan. Benarlah ungkapan satu bait lagu yang pernah aku dengar;
Pengalaman telah mendewasakan, mematangkan fikiran,
Pahit getir yang dilalui, guruku sejati.
Setiap manusia menempuh ujian yang berbeza-beza dalam hidup mereka.
Setiap ujian itu, Allah berikan kepada setiap seseorang sesuai dengan kemampuannya. Perkara tersebut telah Allah beritahu menerusi firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud; “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Dan, aku diuji dengan perkara yang menjadi kesayangan dan kesukaan aku. Meskipun pada mulanya aku tidak dapat menerima hakikat, lama-kelamaan pintu hakikat itu terbuka juga. Mungkin Allah mahu mengingatkan aku, hanya Allah yang lebih layak untuk dicintai, bukannya makhluk.
Namun, itu tidak bermakna aku harus terus keseorangan. Allah juga menciptakan aku hati, di dalamnya ada perasaan. Dengan perasaan itu, timbulnya cinta, kasih dan sayang. Cuma, aku perlu salurkan cinta, kasih dan sayang itu betul pada tempatnya. Bukan sekadar itu, bahkan perlu betul caranya.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solah; dan sesungguhnya solah itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 45)

***
HARI itu adalah hari yang aku tunggu-tunggu. Hari itu, dua hati akan bersatu. Akan sempurnalah separuh daripada agamaku saat aku melafazakan kalimah itu. Hati aku berdebar-debar. Semakin hampir ke tempatnya, hati semakin bergetar. Adakah benar si dia akan menjadi milikku?
Aku mencubit pipi berkali-kali. Ternyata aku bukan bermimpi. Di depan aku tuan imam. Di sebelah aku saksi dan wali. Di suatu sudut, bakal isteri.
“Aku nikahkan dikau dengan Solehah Binti Ismail dengan mas kahwinnya dua ribu ringgit, tunai!”
“Aku terima nikahnya Solehah Binti Ismail dengan mas kahwinnya dua ribu ringgit, tunai!” Sekali lafaz, menghalalkan perkara-perkara yang sebelum ini terbatas.

***
HARI ini, rutin hidup aku berubah. Aku bukan lagi orang bujang yang hidup keseorangan. Di sisiku sekarang ada seorang isteri yang tugasnya membantu suami menghidupkan sunnah Nabi.
“Sebenarnya, abang ada satu rahsia untuk diberitahu,” kataku kepadanya pada suatu hari ketika kami berdua sedang berjalan-jalan di tepi pantai.
“Apa dia? Cakaplah.”
“Dulu, sewaktu abang berada di tingkatan empat, abang mendapat tawaran belajar di sekolah lain yang agak bagus tapi abang tolak tawaran itu.”
“Kenapa?”
“Bagi abang, bersekolah di mana-mana pun sama sahaja. Lihatlah kehidupan kita pada hari ini. Dulu, kita hanya bersekolah di sekolah biasa. Boleh juga masuk universiti. Keluar universiti, dapat juga hidup seperti orang lain. Sama sahaja, bukan?”
Dia tersenyum. “Tapi, mengapa abang tidak menerima tawaran itu? Adakah kerana jawapan tadi?”
“Sebenarnya, waktu itu, abang sudah jatuh hati pada seseorang. Tapi, abang tidak pernah memberitahu dia. Zaman persekolahan bukan masa yang sesuai untuk bercinta. Lagipun, tidak lama selepas itu, si dia berpindah ke luar negara. Sejak dia berpindah, abang terus lupakan perasaan itu. Namun, Allah Maha Berkuasa. Garam di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu juga.”
“Erm. Seperti tahu-tahu sahaja siapa orang itu.” Isteriku menguntum senyum.
“Itulah ketentuan Allah kepada manusia,” balasku sambil tersenyum juga.
“Sebenarnya, ana pun ada rahsia yang hendak diberitahu.”
“Eh, ada rahsia juga? Apa dia?”
“Sebenarnya, orang yang abang minat itu pun sudah lama sukakan abang.”

***
DETIK lafaz ijab dan kabul bukanlah destinasi terakhir untuk aku.
Bagi aku, perjalanan hidup ini masih panjang. Alam perkahwinan sekadar menyempurnakan separuh daripada agama bagi seorang lelaki. Aku masih ada lagi separuh tuntutan yang belum dipenuhi. Perkahwinan adalah sebahagian jambatan untuk menuju ke destinasi tersebut. Jambatan bukanlah tempat terakhir dalam sesuatu perjalanan. Tidak mungkin ada manusia yang sanggup bermastautin di atas jambatan.
Matlamat hidup adalah mencari keredhaan Allah sebelum sakaratul maut datang menjemput. Maka, selepas itu, manusia akan melalui alam barzakh, padang mahsyar, titian sirat dan destinasi terakhir sama ada syurga atau neraka. Di situlah terletaknya destinasi yang kekal abadi.
Selalu aku berpesan kepada isteriku, “Seorang isteri yang berkorban untuk suaminya atas maksud agama, kerana Allah, dia akan masuk syurga lima ratus tahun lebih awal berbanding suaminya. Seorang isteri yang ditinggalkan oleh suaminya ketika keluar ke jalan Allah, maka Allah menjadi Pemelihara yang menjaganya. Orang yang paling bahagia ialah orang yang suaminya keluar di jalan Allah kerana dia bukan hidup dengan kekasih Allah tetapi dengan Allah.”
Itulah yang aku maksudkan, ‘seorang isteri yang membantu suami menghidupkan sunnah Nabi.’
Hidup perlu ada tujuan. Apabila manusia tahu tujuan hidup, dia akan tahu untuk siapa dia hidup. Aku hidup untuk mencari redha Allah. Aku hidup untuk mengajak manusia kepada Allah. Aku hidup untuk menyambung risalah kenabian. Itulah maksud hidup aku.
Sekiranya ada sesiapa yang bertanya, “Boleh kamu perkenalkan diri? Kami mahu berkenalan dengan kamu.”
Aku suka menjawabnya, “Saya umat Nabi. Kerjaya utama saya ialah pendakwah. Saya mencari rezeki dengan sekadar menjadi seorang pendidik penulis.”
Sekian. Selamat berkenalan denganku!

No comments: