Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
Habib an-Najar ialah seorang lelaki yang tinggal di negeri Antakiah, terletak di negara Turki. Pekerjaan harian beliau adalah sebagai pembuat patung. Banyak patungnya diperbuat daripada kayu. Beliau hidup pada zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Meskipun beliau seorang pembuat patung, sebenarnya beliau tidak menyembah patung-patung itu kerana beliau seorang lelaki yang beriman kepada Allah.
Beliau melakukan
pekerjaan tersebut untuk menyembunyikan keimanannya kerana masyarakat
negeri Antakiah pada masa itu hidup dalam kesesatan.
Pada suatu hari, datanglah tiga orang Rasul ke
negeri Antakiah. Mereka bernama Yuhana, Bulus
dan Sham‘un. Ketiga-tiga orang Rasul tersebut menyeru rakyat Antakiah supaya beriman
kepada Allah. Bagi membuktikan kerasulan mereka, ketiga-tiga orang Rasul itu
menunjukkan mukjizat mereka. Mereka dikurniakan mukjizat oleh Allah untuk menghidupkan
orang mati, menghilangkan penyakit sopal dan mencelikkan orang buta.
Namun begitu, penduduk Antakiah enggan
mempercayai mereka kerana terpedaya dengan nafsu mereka
yang sangat keras. Kemudian, ketiga-tiga orang Rasul itu telah ditangkap.
Perkara itu diketahui oleh Habib an-Najar. Beliau keluar dari tempat kediamannya
menuju kepada orang ramai. Lalu, beliau berkata, “Wahai penduduk Antakiah.
Ikutilah mereka ini. Sesungguhnya mereka ini adalah Rasul utusan Allah.”
Maka, penduduk tempatan telah melaporkan
kata-kata Habib an-Najar itu kepada raja.
Raja mengarahkan
supaya Habib an-Najar ditangkap dan dibawa menghadapnya. Raja menyoalnya,
“Adakah kamu ini sudah menjadi pengikut mereka?”
Jawab Habib an-Najar, “Apakah sebab yang
menghalang aku untuk mengikut mereka?”
Orang Antakiah berterusan mendesak beliau.
Mereka berkata, “Mereka inilah yang telah
menyesatkan kamu. Kembalilah kepada agama nenek moyang kamu. Jika kamu tidak mahu kembali,
kami akan bunuh kamu dengan sehabis-habis azab!”
Ugutan tersebut tidak sedikit pun menggugat
iman Habib an-Najar. Malahan, beliau menjawab, “Jika
aku kembali kepada agama kamu, sebenarnya aku dalam kesesatan yang nyata.”
Kemudian, Habib an-Najar berkata kepada tiga
orang Rasul itu, “Aku telah percaya kepada Tuhan kamu
sekalian. Maka, saksilah pengakuan keimananku ini.” Apa yang dapat difahami
daripada kata-kata beliau itu, sesungguhnya Habib an-Najar telah beriman sebelum
kedatangan Rasul-rasul itu lagi. Beliau berpegang kuat dengan pesanan-pesanan
Rasul-rasul dan kitab-kitab yang diperturunkan sebelum itu.
Sama keadaannya dengan berita kedatangan
Rasulullah SAW yang disebut-sebut semenjak zaman
Rasul-rasul yang terdahulu. Kerasulan Nabi Muhammad SAW juga turut disentuh dalam kitab
Taurat, Injil dan Zabur. Maka, setelah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul,
ramailah para penganut agama Yahudi dan Kristian yang memeluk Islam kerana meyakini
Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah yang dimaksudkan dalam kitab-kitab
mereka. Inilah yang dimaksudkan, beriman sebelum kedatangan.
Akibat daripada keimanan Habib an-Najar,
beliau telah dikenakan seksaan yang berat.
Sewaktu mereka
menyeksa Habib an-Najar, beliau tidak henti-henti berdoa, “Ya Allah! Berilah hidayat
kepada kaumku ini.” Sifat mulia yang ada pada Habib an-Najar itu merupakan satu
bukti bahawa beliau seorang wali Allah. Wali Allah tidak pernah berdendam dengan
sesiapa walaupun orang lain memperlakukan perkara yang kejam terhadap mereka.
Para ulama tafsir menyatakan bahawa, Habib
an-Najar diseksa dengan salah satu daripada tiga
cara. Mungkin beliau diseksa dengan cara dibakar atau dilontar dengan batu
bertubi-tubi. Ada juga ulama tafsir menyatakan bahawa berkemungkinan beliau digergaji
daripada kepala sehingga ke celahan peha sehingga putus dua. Ya Allah!
Tidak sanggup
kita membayangkan kezaliman yang menimpanya itu.
Itulah tanda-tanda keimanan. Seseorang itu
tidak akan dikira beriman sebelum dia diuji oleh Allah
SWT. Lihatlah Habib an-Najar. Beliau telah diuji dan keimanannya diterima oleh
Allah. Buktinya, Allah SWT telah merakamkan kisah pengorbanan Habib an-Najar ini
dalam surah Yasin ayat 22 hingga 24. Bersama-samalah kita menghayati kisah ini ketika
membaca surah Yasin.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment