Oleh: Abi Muslih & Mama Farhah
Dalam tempoh yang segera mungkin, anak itu perlu diazan dan diiqamatkan. Adalah sunat untuk azan di teliga kanannya, dan iqamat di telinga kirinya. Seeloknya, si bapa sendiri yang melaksanakan tugas yang ringkas, tapi penuh makna ini. Azanlah dan iqamatlah dengan penuh khusyuk, pasrah dan mengharap. Pastikan suaranya jelas, sebutannya tepat dan lebih baik lagi bersama dengan menghayatan maknanya. Sambil azan dan iqamah, bolehlah hati bapa tadi mendambakan harap agar Allah jadikan telinga, mata, lidah dan seluruh anggota anak itu dekat dengan Allah, dan jauh dari syaitan.
Rasulullah pernah bersabda “Siapa yang baru mendapat seorang anak, lalu diazankannya di telinga kanan serta diiqamatkan pula di telinga kiri, maka anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi)
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Tuhfatul Maudud, menyebut bahawa amalan ini mempunyai hikmah yang besar. Antaranya, ia bertujuan untuk memastikan kalimah pertama yang masuk dalam deria pendengaran anak adalah kalimah-kalimah suci. Kalimah kebesaran Allah, syahadah, serta seruan kepada solat dan kejayaan digemakan ke telinga bayi agar hikmah dan pengertiannya menyerap hingga ke lubuk kalbu si anak. Lantas anak itu menjelmakannya dalam bentuk keyakinan, dan amalan sepanjang hayatnya.
Selain itu, kalimah ini juga berperanan sebagai menghalau iblis dan syaitan. Syaitan sentiasa merancang dan mencari peluang untuk menyesatkan anak Adam. Namun, azan dan iqamah amat ditakuti mereka. Maka tindakan melaungkan azan dan iqamah itu sebagai gendang perang dan amaran keras ke atas syaitan supaya dia tidak mendekati anak itu
sumber: http://abimuslih.wordpress.com/2007/08/27/menyambut-kelahiran-anak-3-azan-dan-iqamah-ke-telinga-bayi/
No comments:
Post a Comment