Wednesday, October 31, 2012

Bilakah berlakunya gempa bumi?

Thu, September 13, 2012 11:37 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
amal dan tabligh
Seluruh orang beriman ialah khalifah Allah di muka bumi. Allah melihat pada iman dan amal orang Islam. Jika amal kita baik, maka Allah akan turunkan kebaikan ke atas muka bumi. Jika amal kita buruk, maka Allah akan turunkan keburukan ke atas muka bumi. Pendek kata, jika amal baik naik, kebaikan akan turun. Jika amal buruk naik, keburukan akan turun. Oleh itu, seluruh orang Islam (terutamanya saya) perlu memperbanyakkan amal kebaikan dan menghindari amal keburukan. Di samping itu, seluruh orang Islam (terutamanya saya) perlu mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kerana, jika Allah ingin menurunkan bala atas sebab kemungkaran, semua orang akan kena tidak kira dia beriman atau fukur, soleh atau fasik.

Sayidatina Aisyah r.a ditanya, “Bilakah berlakunya gempa bumi?”

Jawab beliau, “Apabila penzinaan berleluasa.”

Sayidatina Aisyah r.a. tidak menjawab seperti jawapan ahli sains, “Gempa bumi berlaku disebabkan berlakunya geseran plat-plat bumi,” tetapi beliau menjawab berdasarkan sunnatullah.

*Tadi, di markaz, pembayan menukilkan kata-kata Maulana Saad, "Sesiapa yang menghubungkan kejadian alam dengan sains, sesungguhnya dia telah syirik."

Tuesday, October 30, 2012

punca

Tue, September 11, 2012 12:52 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
jadilah pintu=albab?
“Sesiapa saja yang mula-mula memberi contoh perilaku yang baik dalam Islam, maka dia mendapat pahala kebaikannya dan mendapatkan pahala orang yang meniru perbuatannya itu tanpa dikurangi sedikit pun. Barang siapa yang mula-mula memberi contoh perilaku jelek dalam Islam, maka dia mendapat dosa kejahatan itu dan mendapat dosa orang yang meniru perbuatannya tanpa dikurangi sedikit pun.” (mafhum hadis)

Monday, October 29, 2012

menangis untuk umat

Fri, August 31, 2012 9:11 am
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
azam buat!
Maulana Abu Hasan ALi an-Nadwi juga dikenali sebagai Maulana Ali Mia... Suatu malam, ketika beriktikaf di masjid, beliau terdengar suatu suara orang menangis. Beliau mencari-cari suara itu. Semakin lama suara tangisan itu semakin kuat...

suspennya...^_^

Beliau cari lagi.... cari lagi... cari lagi...semakin lama, tangisan itu semakin kuat..

Dan akhirnya, beliau mendapati bahawa orang yang menangis itu ialah...

Maulana Ilyas rah.a...^_^

Beliau menangis untuk umat.... Kita bagaimana?

Wednesday, October 24, 2012

Amalan Malam Raya

Thu, August 16, 2012 12:54 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
raya @ GISB
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.” (Riwayat Imam at-Thabrani daripada ‘Ubadah r.a.)

Amalan zikir berikut dipetik daripada kitab Jamik al-Fawaid wa Jauhar al-Qola’id karangan asy-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, halaman 117:

AMALAN PERTAMA (dibaca 300 kali):
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْم
Barang siapa membaca pada malam hari raya fitrah 300 kali kemudian dihadiahkan kepada kaum Muslimin yang telah meninggal dunia, dimasukkan dalam tiap-tiap kubur mereka 1000 cahaya dan dijadikan dalam kuburnya nanti 1000 cahaya.

AMALAN KEDUA (dibaca 400 kali):
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهْ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَىْ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر
Barang siapa membacanya pada tiap-tiap satu daripada dua hari raya,
· Dikahwinkan Allah dengan 400 orang Hurul Ain (bidadari).
· Seperti memerdekakan 100 hamba.
· Malaikat membuat baginya beberapa dusun dan ditanamkan beberapa pohon kayu sehingga Hari Kiamat.

Nota: Menurut Imam az-Zuhri (wafat 124H), beliau tidak pernah meninggalkan amalan ini sejak mendengarnya daripada Anas r.a. manakala Anas sendiri tidak pernah meninggalkan amalan ini sejak mendengarnya daripada Rasulullah SAW.

* Bagi kedua-dua amalan, waktu mengamalkannya adalah antara lepas Maghrib malam raya hingga didirikan solat sunat hari raya.

Risalah ini diperkemaskan daripada naskhah asal yang diedarkan oleh Maahad Raudhatul Ulum, Ulu Rening, Batang Kali serta diperpanjangkan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Hasyim dalam pengajian di kediaman beliau di Subang Bestari pada 12 Ogos 2012.

Tuesday, October 23, 2012

Akhirat itu cahaya sedangkan dunia itu bayang-bayangnya...

Thu, August 30, 2012 11:21 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
otw to sp
Carilah cahaya, nescaya bayang-bayang akan mengekorimu...

Namun, jika engkau kejar bayang-bayangmu,
sampai bila-bila pun kamu tidak akan dapat menangkapnya
bahkan...

Kamu akan jauh daripada cahaya...

=''=

Monday, October 22, 2012

MEMBETULKAN SALAH FAHAM MENGENAI MAKSUD DAKWAH YANG SEMPURNA

Thu, August 30, 2012 11:22 am
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
otw to sp

Contoh dakwah paling sempurna ialah azan. Kenapa?

1. Tujuan azan adalah untuk mengajak manusia menuju kejayaan dengan mentaati perintah ALLAH (menunaikan solat), bukannya sekadar hendak memberitahu sudah masuk waktu solat.

2. Azan dimulai dengan kalimah membesarkan Allah (Allahu akbar), kemudian kalimah syahadah (mengajak kepada keimanan kepada Allah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW).

3. Kesimpulan bagi azan itu ialah dakwah kepada LAA ILAHA ILLALLAH (Allah Maha Berkuasa, makhluk langsung tidak ada kuasa)

4. Muazzin yang mengalunkan azan, mana-mana orang yang mendengarnya, kemudian mereka menunaikan solat, maka pahala amalan mereka itu masuk ke dalam akaun si muazzin.

Betapa besarnya pahala orang yang mengajak kepada kebaikan.

5. Kemudian, muazzin itu sendiri mendirikan solat di masjid. Dia mengajak, dia sendiri buat. Belum pernah jumpa muazzin yang azan, kemudian keluar dari masjid dan balik ke rumah tanpa menunaikan solat. Mungkin itu orang gila.
6. Untuk menjadi muazzin, tidak perlu tadah kitab banyak-banyak, mengaji fikah tinggi-tinggi. Memadai dia tahu adab-adab dan lafaz azan, dia sudah boleh menjadi muazzin. Untuk menjadi pendakwah, memadai dia tahu satu perkataan lalu disampaikannya. “Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat.” Bukan susah sangat pun.

7. Muazzin akan bersolat fardhu selepas azan. Maknanya, jika hendak berdakwah, bukan tunggu amal semua dulu baru hendak mengajak orang lain. Sambil-sambil ajak, sambil-sambil buat. Bukan tahu ajak sahaja, tetapi dia tiada azam untuk buat.

8. Seorang muazzin tidak perlu kisah sama ada orang suka atau tidak dengan azannya.

Masuk waktu, dia azan. Macam pendakwah juga, sama ada orang suka atau tidak, dia akan terus menyampaikan dakwahnya. Pendakwah perlu menyukakan Allah, bukan menyukakan makhluk.

9. Muazzin bersusah payah datang ke masjid dan melaungkan azan. Itu adalah tertib dalam dakwah. Tidak boleh dia guna kecanggihan teknologi dengan merakam suaranya, lalu apabila masuk waktu, dia pasang kaset yang direkodnya. Dia boleh guna teknologi sekadar perlu iaitu menggunakan mikrofon (membesarkan suara). Namun, azan tetap perlu ‘live’, tidak boleh ‘miming’.

Wallahua'lam.

Sunday, October 21, 2012

Riwayat Ibnu Hibban

Sun, August 26, 2012 10:25 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
sab
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Berdiri seketika di jalan Allah SWT adalah lebih baik daripada beribadat pada malam al-Qadar di depan Hajarul Aswad.” (Riwayat Ibnu Hibban dengan sanad yang sahih, terkandung dalam Muntakhab Ahadith, m/s 595)

Thursday, October 18, 2012

SALASILAH KETURUNAN MAULANA ILLYAS RAH. DAN ANAKNYA MAULANA YUSUF RAH.

Thu, August 30, 2012 12:23 am

Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
istighfar kau masbuk

Biodata Maulana Yusuf rah.
Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi lahir pada 25 Jamadil awal, 1335 H, sesuai dengan 20 March 1917 di Kandhla di India. Keluarganya terkenal dengan keilmuan dan kesetiaan total dalam perjuangan Islam.

Berikut adalah salasilah keturunan beliau dari Garis Ayah:
•Maulana Muhammad Yusuf anak dari
•Maulana Muhammad Ilyas anak dari
•Maulana Muhammad Ismail anak dari
•Syaikh Ghulam Hussein anak dari
•Hakim Karim Baksh anak dari
•Hakim Ghulam Mohiuddin anak dari
•Maulana Muhammad Sajid anak dari
•Maulana Muhammad Faiz anak dari
•Maulana Hakim Muhammad Syarif anak dari
•Maulana Hakim Muhammad Asyraf anak dari
•Syaikh Jamal Muhammad Syah anak dari
•Syaikh Nur Muhammad anak dari
•Syaikh Bahauddin Syah anak dari
•Maulana Syaikh Muhammad anak dari
•Syaikh Muhammad Fadhil anak dari
•Syaikh Qutb Syah.

Salasilah keturunan dari Garis Ibu:
•Ibunya anak dari
•Maulvi Rauful Hasan anak dari
•Maulana Zia-ul-Hasan anak dari
•Maulana Nurul Hasan anak dari
•Maulana Abul Hasan anak dari
•Mufti Ilahi Baksh anak dari
•Maulana Syaikhul Islam anak dari
•Hakim Qutbuddin anak dari
•Hakim Abdul Qadir anak dari
•Maulana Hakim Muhammad Syarif anak dari
•Maulana Hakim Muhammad Asyraf anak dari
•Syaikh Jamal Muhammad Syah anak dari
•Syaikh Nur Muhammad anak dari
•Syaikh Bahauddin Syah anak dari
•Maulana Syaikh Muhammad anak dari
•Syaikh Muhammad Fadhil anak dari
•Syaikh Qutb Syah.

Garis salasilah keturunan ayah dan ibu dari keluarga Maulana Yusuf bertemu di Hakim Muhammad Syarif. Lalu garis salasilah keluarga keturunan mereka kembali ke Amirul Mukminin Hazrat Abu Bakar Siddiq r.a. Kedua-dua keluarga ini tinggal di desa Kandhala dan Jinhjana. Mereka terkenal dengan kesolehan, keilmuan dan ketakwaan. Seluruh keturunan mereka adalah para ‘Ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah dan para Wali.

Maka jelas sudah bahawasanya Maulana Ilyas dan isterinya adalah dari keturunan Abu Bakar r.a. dan kini keturunan ini terus menerus menjadi pemimpin jemaah terbesar dunia ini. Anak kepada Maulana Yusuf rah. ialah Maulana Harun rah. dan anak kepada Maulana Harun ialah Maulana Sa’ad Kandahlawi at-Tamimi yang masih hidup pada zaman ini dan kini menjadi pemimpin jemaah Usaha Atas Iman sedunia mentablighkan agama ke seluruh pelosok dunia.

Semuanya bermula dengan fikir ... .

Fri, August 24, 2012 11:31 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
'isya'
Orang fikir hendak guna besi, besi boleh jadi kapal terbang ...
Orang fikir hendak guna pasir, pasir boleh jadi rumah ...
Orang fikir hendak guna batu, batu boleh jadi lebuh raya ...
Orang fikir hendak guna kaca, kaca boleh jadi cawan ...
Orang fikir hendak guna pokok, pokok boleh jadi kertas ...

Pendek kata, apabila kita fikir sesuatu, maka kita akan lakukan perkara itu sampai berjaya...

Segala kerja buat kita, semua bermula dengan fikir...

Ketika Nabi SAW risau memikirkan nasib umat, maka Allah kurniakan kepadanya kerja kenabian ... sehingga umat yang jahil menjadi hebat di mata dunia ... kaum Arab yang dihina mampu meruntuhkan empayar Rom dan Parsi ... semuanya bermula dengan fikir risau Baginda SAW.

Jika kita mempunyai fikir yang sama seperti fikir risau Baginda SAW, Allah akan beri kepada umat akhir zaman ini KEHEBATAN sepertimana Allah beri kepada umat Islam yang dahulu.

"Tiada cara untuk mengislahkan umat akhir zaman selain cara yang ditunjukkan oleh generasi terawal (generasi salafussoleh)." (Imam Malik)

Zaman Maulana Ilyas, cuma jemaah 3 hari atau 10 hari dikeluarkan ... .
Zaman Maulana Yusuf, baru ada jemaah keluar 4 bulan ... .
Zaman Maulana Inaamul Hasan, usaha tersebar ke seluruh alam ... .

Semuanya bermula dengan fikir ... .

Akhir kata, terimalah serangkap lagu untuk rakan2 seperjuanganku:

"Jika kau fikirkan kau boleh ..
kau hampir boleh melakukan ..
jika kau fikirkan ragu-ragu ..
usahamu tidak menentu."

Tuesday, October 16, 2012

Pendek cerita, tiada alasan untuk tidak berdakwah:-)

Wed, August 29, 2012 1:13 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
parking lot
Pada zaman Nabi dan para Sahabat dulu, dikatakan tiada kemudahan seperti sekarang.

Dulu tiada kereta, tiada hi-way, tiada kapal terbang dan serba serbi dalam mujahadah tetapi mereka masih menjalankan kewajipan berdakwah.

Sekarang, segala jenis kemudahan tersedia, apa alasan anda untuk tidak berdakwah?

Jika anda kata, "Harta saya banyak, projek sana sini, siapa hendak urus?" Nanti Allah boleh bawakan Nabi Sulaiman AS dan Abdul Rahman bin Auf ... .

Jika anda kata, "Saya miskin, apa pun takdak. Kalau saya keluar berdakwah, siapa hendak beri makan kepada keluarga saya?" Nanti Allah boleh bawakan Nabi Isa AS, seorang nabi yang paling zuhud ... hidup pun berpindah randah ... Allah boleh bawakan Anas bin Malik yang memiliki hampir 100 orang anak. Semuanya Allah yang beri makan:-)

Monday, October 15, 2012

Apa yang anda tahu tentang peristiwa berkaitan petikan ini?

Wed, August 22, 2012 11:41 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
sp
Saif meriwayatkan dari as-Sa'di bahwa dia pernah berkata, “Ketika para tawanan wanita dan anak-anak dari Nihawand sampai di Madinah, Abu Lu'luah Fairuz (hamba milik al-Mughirah bin Syu'bah) menyambut mereka dan mengusap setiap kepala anak kecil daripada para tawanan ini sambil menangis dan berkata, ‘Umar telah memakan jantungku.’ Ternyata Abu Lu'luah berasal dari Nihawand yang ditawan oleh seorang Romawi ketika mereka menaklukki Parsi. Setelah itu dia ditawan oleh kaum Muslimin. Sejak saat itu dia dinisbatkan ke daerah asal dia ditawan.”

Sunday, October 14, 2012

BERKONGSI ILMU DARI TAALEEM MASTURAT MINGGUAN SRI PETALING (18/8/2012)

Sat, August 18, 2012 2:45 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
kerdil
Di mana dapat ku temui dikau wahai Kekasihku?

Aisyah r.anha pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Di akhirat nanti di manakah dapat ku temui dikau wahai Kekasihku?"

Baginda Rasulullah SAW tersenyum dan menjawab, "Di akhirat kelak, carilah aku di salah satu dari empat tempat ini wahai Aisyah:
1. Di bawah Arasy ALLAH SWT
2. Di tepi telaga Kautsar
3. Di hujung titian sirat
4. Di pintu neraka"

Aisyah r.anha berasa hairan dengan jawapan Rasulullah SAW itu. Maka ditanya Aisyah r.anha lagi kepada Rasulullah SAW, "Wahai Kekasihku, mengapakah dikau berada di sana? Bukankah sepatutnya dikau sudah duduk di dalam syurga yang telah ALLAH SWT janjikan buatmu?"

Jawab Rasulullah SAW:
1. Aku berada di bawah Arasy ALLAH SWT untuk terus mohon belas kasihan daripada-NYA agar mengampunkan umatku agar semuanya dapat masuk syurga bersamaku.
2. Aku berada di tepi telaga Kautsar agar aku sendiri dapat memberi minum kepada umatku kerana sekali minum air dari telagaku itu, mereka tidak akan dahaga selama-lamanya.
3. Aku berada di hujung titian sirat untuk terus berdoa dan mohon bantuan ALLAH SWT agar memudahkan perjalanan umatku yang menghadapi kepayahan untuk melintasi titian sirat.
4. Aku berada di pintu neraka untuk terus berusaha dan berdoa pada ALLAH SWT agar diampunkan umatku dan jangan masukkan mereka ke dalam neraka."

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

(Allahumma salli ‘ala muhammad wa ‘ala ali muhammad)

Thursday, October 11, 2012

Pesanan Asy Syaikh Ad Da'iyah Maulana Muhammad Saad Al Kandahlawi

Tue, August 14, 2012 4:32 pm
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
..dan amal
Assalamu'alaikum..

Tuan-tuan yang mulia,
Satu perkara yang perlu kita yakin apabila umat ini secara ijtimae (collectively) meninggalkan kerja menyeru kepada agama, maka umat akan meninggalkan agama dan tidak mampu untuk istiqamah dalam amalan. Ini adalah perkara yang hak.

Tuan-tuan yang mulia,
Hadrat Abdullah Jaafar r.a. buat usaha di Rome. Raja Rome telah tangkap mereka dan seru mereka kepada agama nasrani. Kalau mereka setuju setengah daripada negara akan diserahkan kepada Hadrat Abdullah. Hadrat Abdullah berkata, 'Bukan setengah, malahan seluruh negara kamu, bahkan semua negara Arab diserahkan kepada kami untuk kami meninggalkan agama Nabi s.a.w. sekelip mata pun, kami tidak akan sedia'. Pengakuan ini akan ada dalam diri umat ini jika setiap individu menyeru manusia kepada agama.

Maulana Saad menekankan lagi bahawa dakwah Illallah ialah bukan fardhu kifayah tetapi fardhu ain. Jika umat faham dakwah adalah fardhu ain mereka akan mengamalkannya tetapi jika mereka faham ia adalah fardhu kifayah, susah bagi mereka untuk membuat usaha dakwah. Perkara ini kita perlu faham dan masukkan dalam hati kita. Umat ini dahulu ijtimae (secara berjemaah), mengapa kini ia berpecah-belah dan bagaimana mereka mudah tukar agama. Pada hal Sahabat r.a. sanggup dicampak dalam api tetapi untuk tukar agama tidak sekali-kali mereka sanggupi. Ini merupakan keistimewaan dakwah, kesan daripada dakwah, bahawa dakwah adalah untuk istiqomah dalam agama.

Dalam kehidupan seseorang individu amat bahaya jika kehidupan sekelilingnya tanpa agama. Oleh kerana tidak ada dakwah dia tidak mampu mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu kita perlu fahamkan dalam hati bahawa dakwah adalah ibadah.
Kedua-dua perkara ini (yakni dakwah dan ibadah) adalah selari dan berterusan, ia berjalan serentak.

Dengan dakwah akan mewujudkan kemampuan mengamalkan agama dari sudut akidah, syariat, kehidupan, muamalat bahkan keseluruhan agama. Dia akan menjadi benar-benar orang Islam (apabila ia dapat kumpulkan dakwah dan ibadah). Dalam al-Quran jelas disebut

ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين

Tiada siapa yang terlebih elok agamanya daripada orang yang ada kedua-duanya sekali iaitu menyeru kepada Allah dan amal. Ayat ini memberi makna penekanan, selain daripada orang yang mengumpulkan dakwah dan ibadah tidak mungkin seseorang itu lebik elok agamanya. Ketinggian usaha dakwah menyebabkan ibadat saya, muamalat saya, hubungan dengan Allah memberi kesan iaitu istiqomah dalam agama. Ia menjadi perkara asas, menjadikan umat ini secara ijtimae menyeru kepada yang hak, setiap individu menjadi da'ie menyeru kepada hak sehingga dia terselamat daripada menjadi orang yang diseru kepada batil.

Tuan-tuan yang mulia,
Setiap orang beriman kita perlu membawa mereka kepada agama. Ramai orang salah faham, mereka fikir dakwah untuk orang lain. Zaman sekarang banyak saluran boleh digunakan untuk dakwah orang lain, sebab itu mereka fikir dakwah dari rumah ke rumah, lorong ke lorong, pintu ke pintu tidak perlu dilakukan lagi. Dakwah iman untuk diri Mukmin itu sendiri. 'Ya aiyuhallazi naamanu aminu' ertinya 'wahai orang beriman, berimanlah kamu'. Orang beriman lebih berhak atas Kalimah. Allah yang memerintahkan, wahai orang-orang beriman jadilah orang beriman. Maksudnya, yang penting kita kendak memperkuatkan iman dan yakin dalam diri kita. Maulana Ilyas rah.a berkata kalau hendak diletakkan nama ke atas usaha ini, dia lebih suka dinamakan ‘Usaha Atas Iman’.

Ingin saya mengingatkan tuan-tuan yang mulia, langkah pertama usaha ini ialah membetulkan iman dan yakin kita. Dalam majlis-majlis sama ada ijtimae (secara jemaah) atau infradi (secara individu) keimanan mestilah mengatasi daripada yang lain.

Hendaklah lagi dan lagi, berulang-ulang kali kita hendaklah memperkatakan tentang keimanan, yakin dengan janji-janji Allah walaupun tidak nampak dengan mata zahir.

Untuk wujudkan perkara ini kita perlu dakwah, cerita, cakap lagi dan lagi berkaitan kehebatan dan kebesaran Allah swt. Dengan dakwah akan wujud peningkatan dalam amal.

Dakwah dan amal saling memerlukan antara satu sama lain. Apabila dakwah kurang, amal akan menjadi kurang. Hari ini apabila kita tertinggal dalam dakwah, kita terasa kekurangan dalam amal. Apabila amal kurang bermakna kita kurang berdakwah. Iman jadi lemah, godaan syaitan akan menjadi kuat. Dakwah menjadi sumber kekuatan dalam amalan. Dakwah menjadi pemangkin kepada amal. Apa-apa asbab yang bertentangan dengan amal, rupa bentuk benda yang bertentangan dengan amal dan bertentangan dengan akhirat tidak dapat kita memahami hakikatnya tanpa kita takluk kepada Allah swt.

Kita perlu tahu melalui dakwah apa faedah yang akan kita dapat, ada kesempurnaan amal yang kita dapat laksanakan.

Untuk mendapatkan, memperbaharui iman ialah dengan mengenal Allah SWT, memahami kudrat Allah SWT, semua makhluk perlu diperkenalkan dengan kekuatan, kebesaran Allah SWT. Akan datang satu masa, kiamat akan berlaku, pada masa itu semua peraturan alam akan binasa. Semua makhluk dicipta untuk mengenal Allah SWT. Kita mengenal yang mencipta daripada ciptaannya. Semua benda Allah cipta untuk kita lihat akan kehebatan Allah. Makhluk Allah dijadikan untuk menghubungkan antara dia dengan kehebatan Allah SWT, dia menafikan apa yang dia nampak pada zahirnya. Ibrahim a.s. mengingkari semua rupa bentuk makhluk sama ada yang bergerak atau tidak bergerak, kita perlu menafikan segala rupa bentuk makhluk yang zahir dan mensabitkan dengan kudrat, kebesaran dan kehebatan Allah SWT, dengan ini kita berjalan menuju penghampiran kepada Allah SWT.

Kemudian Ibrahim a.s. diuji hendak dicampakkan ke dalam api yang besar sehingga burung-burung pun tidak dapat terbang atasnya. Dalam keadaan begitu Ibrahim a.s. dengan segala kekuatannya bersama malaikat gunung dan malaikat laut ingin membantu tetapi Ibrahim a.s. menolak seraya berkata, "Saya tidak perlu pada bantuan tuan, cukup pada hanya Allah." Ibrahim a.s. terang-terang mengingkari apa yang dia lihat pada zahirnya. Allah kemudian perintahkan api yang panas menjadi sejuk. Apabila seseorang mengambil zat sepenuhnya daripada Allah SWT, maka Allah juga terus membuat keputusan/perintah, api menjadi sejuk dan sejahtera ke atas Ibrahim a.s. maka Ibrahim a.s sejahtera dalam api tersebut.

Untuk mengambil faedah dari Allah SWT, kita perlu menafikan semua makhluk yang ada.

Ini merupakan amalan harian. Setiap hari kita berzikir dengan kalimah "Laillaha illallah" dan bergerak dalam kalangan umat untuk menerangkan mahfum maksud kalimah ini.

Kita zikir kalimah ini dan menyeru manusia kepada kalimah ini. Dua-dua perkara ini dituntut. Setiap hari kita perlu dakwah "Laillaha illallah," yang berkausa hanya Allah yang lain tidak boleh buat apa-apa. Setiap hari kita perlu mengingkari semua rupa bentuk zahir yang ada. Ini adalah perkara asas, tauhid adalah ibu kepada ketaatan. Ilmu tauhid ceritakan kudrat dan kebesaran Allah swt, semua nizam atau peraturan alam ini Allah yang cipta, Allah arahkan Nabi-Nabi mengingatkan pada manusia bahawa Allah menjadikan bumi, langit dan seluruh alam ini. Jika kita tidak kenal pencipta, kita akan yakin dengan apa yang dicipta. Orang kafir tenggelam dalam apa yang dicipta Allah seperti bulan, bintang, matahari, tetapi orang Mukmin tenggelam dengan pencipta yakni Allah SWT.

Untuk memperkuatkan iman kita, Maulana kata ada 4 saluran:

1. Ceritakan kebesaran Allah, keagungan Allah, kehebatan Allah semasa ziarah dan apabila sembang-sembang bersama kawan-kawan dalam masjid. Ini adalah amalan para sahabat. Hadrat Maulana Yusuf rah. menulis dalam Hayatus Sahabah, di mana sahabat-sahabat membuat majlis-majlis zikir, halaqah-halaqah Iman. Hari ini halaqah-halaqah iman telah tiada di masjid-masjid. Dalam masjid ada cerita-cerita dunia, business dan politik. Sahabat-sahabat mengajak satu sama lain duduk seketika untuk muzakarah (bincang) iman.

2. Ceritakan bantuan ghaib Allah kepada Nabi-nabi. Kita perlu baca kisah-kisah Nabi bukan kisah sejarah bahkan untuk dibawa sebagai tazkirah untuk memperkuatkan yakin bahawa pada hari ini juga Allah akan membantu orang Islam sepertimana Allah bantu Nabi-nabi terdahulu. Allah berfirman bahawa, "Kami menceritakan kepada kamu kisah-kisah nabi dan rasul terdahulu untuk memantapkan keyakinan hati kamu."

Kisah-kisah nabi itu adalah sebagai iktibar kepada kaum Mukmin untuk memantapkan yakin kepada Allah. Kita perlu meyakini bantuan Allah kepada Nabi-nabi, Allah yang sama juga yang akan membantu umat ini apabila kita membuat kerja Nabi-nabi.

3. Menceritakan bantuan Allah kepada para Sahabat. Kita perlu baca kisah-kisah sahabat itu untuk memperkuatkan Iman kita. Kita perlu menyakini bantu-bantuan ghaib Allah kepada para Sahabat r.a. Dalam keadaan sekarang apa yang berlaku dalam pemikiran umat bahawa bantuan itu telah berlalu. Ini yang menyebabkan syak dalam agama kita. Keadaan itu menyebabkan kita berasa maazur atau uzur atau malas untuk mengamalkan syariat kerana keyakinan kepada janji Allah telah keluar dari hati-hati kita. Perkara perkhabaran dari Nabi adalah Hak, dan nadar iaitu perkhabaran dari apa yang nampak. Seorang sahabat memberitahu Abu Darda r.a. bahawa rumahnya terbakar, Abu Darda diam, seterusnya orang kedua memberitakan perkhabaran yang sama, begitu juga orang ketiga yang menceritakan perkhabaran yang serupa tetapi orang yang keempat mengkhabarkan rumah tuan tidak terbakar. Abu Darda berkata, "Aku dah yakin bahawa rumah aku tidak terbakar kerana aku telah membaca doa yang diajar oleh Nabi SAW bahawa barang siapa yang membaca doa itu pada waktu pagi nescaya rumahnya tidak terbakar dan Abu Darda r.a telah membaca doa tersebut. Allah bertindak atas sangkaan hamba-Nya. Keadaan-keadaan yang ada sekarang, keyakinan dengan bantuan Allah telah terkeluar dalam kalangan orang Islam. Ini akan membuat kita uzur atau malas untuk mengamalkan agama secara sempurna. Sedangkan Nabi SAW bersabda bahawa bantuan Allah kepada umat akhir zaman sepuluh kali ganda sebagaimana Allah membantu para Sahabat. Kita ceritakan bantuan ghaib Allah kepada Sahabat supaya kita bersangka baik dengan Allah SWT. Allah akan berurusan dengan kita atas sangkaan kita. Bantuan Allah tidak berhubung kait pada masa yang berlalu tetapi begantung kepada amal kita.

4. Menceritakan iman dengan alamat-alamatnya. Usaha wujudkan iman bersama dengan alamatnya sekali. Sahabat-sahabat bertanya Rasulullah SAW, "Iman itu apa?"

Rasulullah SAW bersabda, "Ketaatan menggembirakan kamu dan kemaksiatan, menyedihkan kamu". Iman adalah taqwa, apabila ada iman, taqwa akan datang sekali.

Tidak mungkin seorang itu beriman tetapi tidak bertaqwa. Dalam al-Quran Allah sebut kalimah ini sebagai kalimah taqwa. Alamat iman yang pertama ialah taqwa, apa itu taqwa? Taqwa ialah takut kepada Allah ketika berseorangan, ketika bersunyi diri.

Misalnya seseorang hendak buat dosa, tetapi depan orang ramai dia tidak buat atau seseorang itu hendak buat dosa tetapi takut orang nampak, itu pun sudah dosa. Semua asas amalan baik ialah taqwa. Taqwa dan sabar adalah sama, kedua-duanya dituntut.
Jika kita taqwa dan sabar serta-merta akan datang bantuan Allah. Sekarang orang ada sabar tetapi tidak ada taqwa. Kalau ada sabar tetapi tidak ada taqwa nusrah (bantuan) Allah tidak akan datang. Walaupun umat ditimpa kesusahan dan kesempitan, mereka bersabar tetapi nusrah Allah masih tidak turun kerana mereka tidak taqwa.

Di mana Allah cerita dalam al-Quran, sabar dan taqwa, kedua-duanya perlu. Hanya sabar tanpa taqwa ia tidak sempurna. Dengan sabar ada janji Allah iaitu perlu taqwa. Taqwa pun ada janji-Nya iaitu perlu sabar.

5 janji Allah dengan taqwa.

1. Orang yang takut dengan Allah, Allah akan buka jalan-jalan penyelesaian, keluarkan dia daripada kesusahan seperti Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf sabar apabila dikhianati oleh saudara-saudaranya. Kemudian dia jadi budak suruhan Zulaikha. Namun sebab Nabi Yusuf sabar dan taqwa, maka saudara-saudaranya pula berhajat kepadanya, datang minta makanan dan bantuan daripadanya.

2. Allah akan mudahkan rezekinya. Allah SWT mudahkan Nabi Daud a.s. dalam mencari rezeki di mana besi untuk membuat pedang lembut seperti tepung diuli, kerana untuk usaha dakwah dia tidak perlu guna harta dan kerajaan.

3. Allah memberi ganjaran.

4. Allah ampunkan semua dosanya yang lalu.

5. Mendapat rezeki yang halal.

Oleh itu perkara yang pertama kita lakukan ialah kita perlu bawa taqwa dalam muamalat pekerjaan/perniagaan) kita. Kita perlu sedar diri kita beribadah, jadi makanan kita mesti jauh daripada yang haram. Kita perlu yakin dengan memakan makanan yang haram, akan rosak amalan kita. Saidina Abu Bakar r.a termakan satu suap daripada hasil tukang tilik, dia terus muntahkan balik. Beliau sedia mati disebabkan makanan itu. Sebab itu dalam usaha kita cari rezeki, perlu bawa taqwa, supaya kita dapat rezeki yang halal. Apa yang kita yakin itulah yang akan datang dalam amalan kita. Dalam ibadat bukan sahaja pakaian suci, makanan suci, tempat suci, tapi darah kita yang mengalir pun mesti jauh daripada yang haram yakni mesti suci. Ini penting kerana ia termasuk taqwa zahir.

Maka kita mesti jauhkan daripada riba', jauhkan daripada penipuan. Dalam muamalat mesti ada taqwa supaya terhindar daripada makanan haram kerana darah yang mengalir mesti suci untuk kita jaga amalan agama kita.

Oleh itu usaha cari makan ini kita perlu berlandaskan agama dengan cara letakkan amal di hadapan berbanding asbab. Asbab bukan maksud tetapi kita perlu letak hukum dalam asbab, Allah SWT bagi asbab untuk kita letakkan hukum dan daripada hukum ini Allah wujudkan keberkatan. Dalam perniagaan tiada keuntungan, pemeliharaan, dalam ubat tidak ada kesihatan, untuk dapat terus dari zat Allah ialah dengan amal. Allah hendak lihat kita yakin pada asbab atau yakin pada Allah. Ubat belum tentu boleh bagi kita sihat tanpa izin Allah, makanan tak boleh mengenyangkan kalau Allah tak izinkan, kerja kuat siang malam belum tentu boleh buat kita kaya tanpa izin Allah, harta belum tentu buat kita bahagia tanpa izin Allah. Allah nak lihat kita pilih asbab atau pilih hukum. Misalnya seseorang hendak keluar pergi berniaga, dia solah 2 rakaat dahulu. Allah telah beritahu bahawa Allah jadikan dunia ini dengan perhiasan-perhiasan untuk ujian. Seperti Nabi Sulaiman a.s. Allah beri asbab yang banyak, beri dia kuasa, ada kerajaan yang luas, ada harta yang banyak, istana Ratu Balqis datang padanya sekelip mata; Allah hendak lihat dia bersyukur atau kufur. Oleh itu semua asbab yang kita nampak atau tidak nampak perlu kita kembalikan kepada Allah SWT. Apabila kita tumpukan ghairullah daripada Allah, Allah akan tarik keberkatan dan manfaat daripadanya. Sebab itu kita perlu yakin dengan janji Allah, yakin dengan kudrat Allah dan yakin dengan hukum-hakam Allah SWT. Dengan hukum-hakam Allah SWT, ada janji Allah SWT.

Untuk datangkan yakin ini kita perlu dakwah, dakwah dan dakwah. Dengan dakwah wujud suasana, yakin akan berubah tetapi dengan syara umat ini datang dengan cara majmuknya atau seluruhnya pada dakwah. Jadi orang beriman yang meyakini bahawa tanpa dakwah tidak akan keluar daripada kerugian. "Demi masa, semua manusia dalam kerugian kecuali orang beriman dan amal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan hak dan yang berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-Asr), kedua-duanya perlu. Setiap orang beriman ada 4 tanggungjawab ini. Allah akan mengeluarkan umat ini daripada segala kerugian apabila kita membuat kerja dakwah.

Orang Mukmin perlu mengambil pelajaran daripada keadaan yang menimpa dia, dia tidak dapat keluar tanpa iman. Orang Mukmin perlu sedar bahawa tidak ada jalan lain untuk mengeluarkan mereka daripada musibah yang datang, kecuali membuat hanya satu usaha iaitu membuat usaha atas iman dan amal, dan mengajak orang lain juga untuk membuat usaha iman dan amal, dan laksanakannya dengan penuh kesabaran. Tanggungjawab ini perlu dilakukan secara ijtimae (berjemaah), kita perlu jadikan setiap umat ini da'ei. Bilamana ada umat yang tidak datang kepada usaha dakwah, maka usaha akan pincang, umat akan tidak selamat.

Untuk membawa agama dalam kehidupan kita, setiap orang Mukmin perlu membuat usaha atas agama. Ulama' beritahu bahawa ada orang tidak membuat dakwah yang makruf sebab dia tidak beramal lagi dengan amal tersebut. Sebetulnya kita perlu seru kepada makruf juga walaupun kita tidak amal. Jika dia buat dakwah dan juga amal, itulah yang sebaik-baiknya. Apabila kita buat kerja dakwah, akan timbul keinginan melakukan makruf dan Allah akan wujudkan kebencian dalam melakukan yang mungkar. Maka jadilah dia sebaik-baik Mukmin yang diredhai oleh Allah swt. Oleh sebab itu kita perlu niat, kita perlu buat dan bawa seluruh umat kepada kerja ini.

Maka marilah kita semua berdoa, "Ya, Allah, apa-apa kesalahan dan kekurangan yang telah berlaku sehingga sekarang maafkanlah kami. Ya Allah, untuk masa akan datang pilihlah kami ya Allah untuk kami ambil tanggungjawab Nabi sebagai tanggungjawab kami Ya Allah."

"Wahai Robb, jika umat tidak datang kepada kerja Nabi, umat ini akan rosak, ya Allah kasihanilah kami. Orang Islam di seluruh dunia terimalah mereka buat usaha Nabi dengan cara Nabi. Semua orang bukan Islam juga keluarga kamu ya Allah, kalau mereka tidak diselamatkan, mereka selama-lamanya akan masuk neraka. Di dalam kubur 99 ekor yang akan patuk mereka Ya Allah, semua orang bukan Islam masukkanlah mereka dalam Islam. Kami tidak mahu apa-apa ya Allah. Apa kehendak kamu ya Allah untuk orang Islam dan yang bukan Islam, itulah hendak kami penuhi."

"Ya Allah, terimalah saya dan rakan-rakan saya yang buat usaha agama sepertimana yang Kamu kehendaki. Terimalah doa kami ya Allah, amin ya Rabbal Alamin."

Semua azam untuk buat dakwah insya-Allah?

Wednesday, October 10, 2012

Habib Umar Habib Muhammad

Date: Thu, August 16, 2012 10:19 pm
buku merah untuk ibu mengandung

Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN

Semasa sessi soal jawab Majlis Multaqo' 2010, seseorang bertanya kepada Habib Umar, “Apakah pendapat Al-Habib tentang pergerakan tabligh dan method dakwah yang cuba disampaikan, adakah ianya bersesuaian dalam usaha menyatukan Islam?”

Jawab Habib Umar, “Di Tarim, usaha dakwah method tabligh telah mula menerap sekitar 40-50 tahun dahulu dan orang yang pertama menyertai tabligh di Tarim adalah ayahandaku sendiri.”

Habib Muhammad(ayh hb. Umar) juga khuruj ke India pada zaman Maulana Yusuf rah.

Beliau juga berbaiat dengan Maulana Yusuf.

Tuesday, October 9, 2012

Kisah Menarik!

Khairy Tajudin posted in Peminat Novel Islami
10.10: tarikh lahir Ustaz Ahmad Sidqi katanya
Seorang raja yang zalim telah menangkap seorang ulama. Raja itu berniat mahu membunuh ulama tersebut tetapi dia perlu mencari helah yang relevan. Maka, dia pun berkata kepada ulama itu, “Di sekeliling kamu ini terdapat tiga pintu. Di kiri, di kanan dan pintu utama. Cuba kamu teka, dari pintu manakah beta akan keluar? Jika jawapanmu salah, beta bunuh kamu!”

Jawab si ulama, “Wahai tuanku. Jika tuanku memang sudah berniat untuk membunuh patik, dari pintu mana pun tuanku keluar, patik tetap akan dibunuh. Jika patik teka pintu kiri, nanti tuanku keluar pintu kanan. Kalau patik teka pintu kanan, nanti tuanku keluar pintu kiri. Namun, jika tuanku tidak berniat mahu membunuh patik, tuanku akan keluar melalui pintu mana yang patik teka.”

“Beta tidak kira! Beta mahu kamu teka juga!”

“Baiklah. Jika begitu, izinkan patik bersolat untuk memohon petunjuk daripada Allah.”

Maka, kemudian beliau pun bersolat dan berdoa kepada Allah agar Allah menyelamatkannya. Sejurus selepas itu, beliau berkata, “Tuanku, patik akan meneka. Tapi, patik akan tulis di atas kertas. Tuanku jangan buka kertas ini selagi tuanku tidak keluar daripada istana.”

“Baiklah, beta setuju.” Kemudian, ulama itu pun menulis di atas sekeping kertas. Si raja mulai bingung. Dia tidak tahu jawapan si ulama itu. Maka, dia pun bertanya kepada exco-exconya. “Bagaimana pendapat kalian, pintu manakah beta patut keluar? Beta tidak tahu jawapannya. Jika beta keluar ikut kiri, takut-takut, jawapan dia tulis itu, pintu kiri. Kalau beta keluar ikut pintu kanan, takut-takut jawapannya itu memang pintu kanan. Maka, dia akan terlepas. Padahal beta mahu membunuhnya.”

Maka, seorang exco yang agak cerdik memberikan cadangan, “Tuanku jangan keluar ikut mana-mana pintu. Tapi, tuanku keluar ikut bumbung!”

“Ya! Itu idea yang bagus!” Maka, si raja pun menuruti idea itu. Dia memanjat tangga dan keluar ikut bumbung istana. Tatkala sudah keluar, sambil tersenyum dia pun membuka surat daripada ulama itu. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk mengenakan hukuman bunuh kepada ulama tersebut.

Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati, jawapan dalam surat itu tertulis, “Tuanku keluar ikut bumbung.”

Toing!

(Khairy Tajudin, 14/8/2012)

Monday, October 8, 2012

TIP BERURUSAN DENGAN EDITOR PEROLEHAN MANUSKRIP


pokok tumbang
oleh: Ruzain Syukur b Mansor

Dinyatakan beberapa tip untuk berurusan dengan editor perolehan manuskrip syarikat penerbitan secara umum. Berlainan penerbit mungkin berlainan gaya berurusan:
1. Sila buat janjitemu dengan editor perolehan seawal 1-2 hari sebelum pertemuan

2. Tanyakan kepada editor tentang keperluan manuskrip yang dihantar (softcopy atau hardcopy)

3. Burn-kan cd yang mengandungi manuskrip yang akan dihantar. Standby sahaja. Serahkan jika dikehendaki oleh editor

4. Sediakan profil diri yang lengkap mengandungi butiran peribadi, pengalaman kerja, pengalaman di bidang penulisan, senarai penulisan dan penglibatan profesional yang menyokong manuskrip anda itu.

5. Sediakan juga kertas cadangan buku mengandungi sinopsis buku, kandungan buku, watak jika novel. Serta nyatakan manuskrip anda itu wajar diterbitkan.

6. Berpakaian kemas dan berkeyakinan ketika membentangkan kertas cadangan buku anda.

7. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Anda sebenarnya baru sahaja memasuki gear pertama.

8. Ucapkan terima kasih kepada editor berkenaan di atas sebarang pertolongan yang diberikan.

Sunday, October 7, 2012

Pesanan Maulana Zakariya dalam Menghadapi Kepelbagaian Fikrah

Tue, July 31, 2012 8:55 am: Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN

feri balik tidak perlu bayar, waktu pergi cas RM10.00 tidak silap
Sangat menghairankan, tatkala Allah dan Rasul-Nya telah menunjukkan jalan dan asbab-asbab untuk kejayaan dan kemajuan serta kelebihan umat Muhammad SAW, umat ini sendiri menyempitkan pintu rahmat (dengan menyerang antara satu sama lain).

Menjadi satu kesilapan umum kita pada hari ini, bahawa mereka yang terbabit dengan lain-lain kegiatan dan usaha agama (sama ada taklim, tabligh, jihad atau suluk) menganggap usaha yang lain sebagai sia-sia dan membuang masa.

Kadangkala, mereka tidak ragu-ragu lagi menuduh orang lain sesat. Secara tidak langsung, mereka telah membataskan usaha yang berbagai-bagai untuk kemajuan Islam hanya dalam batas-batas kegiatan mereka sahaja. Seolah-olah mereka telah mengenepikan usaha-usaha agama yang lain daripada lingkungan Islam.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Agama Islam itu mudah. Barangsiapa yang memayah-mayahkannya maka dia akan tewas. Maka, jalanlah lurus-lurus, ikutilah ia rapat-rapat dan berilah berita gembira kepada orang ramai (atas amalan baik mereka).” (HR Bukhari)

Baginda turut bersabda mafhumnya, “Permudahkanlah, jangan sukarkannya. Berilah berita gembira untuk memujuk mereka kepada agama) dan janganlah menimbulkan kebencian mereka kepada agama.” (Durre Manthur)

Pengarang kitab ‘Bahjatul Nufus’ mengisahkan, suatu hari Sayidina Abu Bakar r.a. bertanya Rasulullah SAW, “Dengan apakah tuan dihantar kepada manusia?”

Baginda menjawab mafhumnya, “Dengan akal.”

Huraian Maulana Zakariya, “Ini menggambarkan bahawa hukum syariat hendaklah dituruti juga dengan akal.”

Kemudian, Sayidina Abu Bakar r.a. bertanya lagi, “Siapakah yang akan memberi jaminan (akan ketepatan) akal (kerana manusia berbeza-beza menurut akal dan daya fahaman)?”

Jawab Baginda mafhumnya, “Akal tiada batasnya. Namun, sesiapa yang menganggap bahawa apa yang halal di sisi Allah sebagai halal dan apa yang diharamkan di sisi Allah sebagai haram, maka dialah orang yang berakal. Jika dia mencuba lebih lagi, dia akan menjadi abid. Jika dia mencuba lebih lagi, dia akan menjadi jawad (berani dan pemurah).”

Maksudnya, jika seseorang berusaha gigih dalam ibadah dan amalan baik yang lain tetapi tidak waras untuk mengambil yang halal dan mengelak yang haram, maka usahanya sia-sia walaupun mereka fikir mereka melakukan kebaikan. Hendaklah difahamkan betul-betul bahawa mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah menunjukkan seseorang itu tidak berakal di sisi agama.

(Maulana Zakariya al-Kandahlawi – Memperkenalkan Siasah Islam)

*Terkilan membaca status-status dai dan komen-komen dai yang sangat jos dan suka pancung-pancung usaha lain ... hentikanlah!

Friday, October 5, 2012

CERPEN: CARILAH JODOH DALAM DIRIMU

Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN

penang

Pernah seorang ustaz memberitahu aku, “Carilah jodoh kamu di dalam diri kamu.” Pada mulanya, aku tidak faham dengan maksud kata-kata itu. Bagaimana aku mahu mencari jodoh dalam jasad aku?
“Jangan kamu cari wanita solehah itu di masjid, kamu tidak akan berjumpanya.” Aku bertambah-tambah tidak faham. Jika tidak di masjid, di manakah wanita solehah berada?
“Carilah pasangan yang sekufu dengan kamu?”
“Sekufu? Apakah maknanya, ustaz?”
“Sekufu itu maknanya, sama tahap iman dan taqwa. Allah menjadikan seseorang sebagai pasangan untuk kamu sesuai dengan tahap iman dan taqwa yang kamu miliki. Jika kamu mahu melihat tahap iman dan takwa seseorang, lihatlah siapa pasangannya.” Aku mulai faham sedikit tapi tidak begitu jelas.
“Jadi, apa yang perlu saya lakukan, ustaz?”
“Jika kamu mahukan isteri yang solehah, terlebih dahulu perbaikilah amal soleh kamu dahulu. Insya-Allah, Allah akan mudahkan kamu untuk mendapat isteri yang solehah. Yakinlah dengan janji Allah.
Itulah maksud saya. Carilah pasangan yang solehah dalam diri kamu.”
Barulah aku faham apa yang ustaz itu cuba jelaskan.
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”(Surah At-Taubah ayat 129)

***
MASA berlalu begitu pantas. Sama ada sedar atau tidak, sudah beberapa tahun aku meninggalkan universiti. Namun, kenangan pahit dan manis itu sentiasa terpahat dalam memori. Aku tidak mungkin melupakan bandar ini. Bandar ini begitu sentimental buat diriku walaupun pada orang lain, ia tidak beerti apa-apa. Hanya sekadar hutan batu kota raya. Pepatah ada mengatakan, ‘Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat belajar.’ Niat asalnya, aku datang ke sini untuk memburu cita-cita duniawi tetapi Allah telah menyelamatkan aku daripada perangkap itu. Aku mula membetulkan niat bahawa segala cinta dan cita-cita aku hanya untuk menyukakan Allah. Aku mahu Allah sentiasa menyayangi aku.
Selama ini aku mencari dua perkara dalam kehidupan. Aku mahukan kesenangan yang tidak ada kesulitan. Aku mahukan ketenangan yang tidak ada kegusaran. Kedua-duanya hanya akan diperolehi dengan mengamalkan agama dengan ikhlas. Jika aku rasa Allah sentiasa bersama-sama aku, mengapa perlu aku gusar dan sulit? Aku perlu betulkan yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik Penolong dan Penyelamat.
Aku telah melalui sebuah perjalanan yang mematangkan dan mendewasakan keremajaan. Benarlah ungkapan satu bait lagu yang pernah aku dengar;
Pengalaman telah mendewasakan, mematangkan fikiran,
Pahit getir yang dilalui, guruku sejati.
Setiap manusia menempuh ujian yang berbeza-beza dalam hidup mereka.
Setiap ujian itu, Allah berikan kepada setiap seseorang sesuai dengan kemampuannya. Perkara tersebut telah Allah beritahu menerusi firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud; “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Dan, aku diuji dengan perkara yang menjadi kesayangan dan kesukaan aku. Meskipun pada mulanya aku tidak dapat menerima hakikat, lama-kelamaan pintu hakikat itu terbuka juga. Mungkin Allah mahu mengingatkan aku, hanya Allah yang lebih layak untuk dicintai, bukannya makhluk.
Namun, itu tidak bermakna aku harus terus keseorangan. Allah juga menciptakan aku hati, di dalamnya ada perasaan. Dengan perasaan itu, timbulnya cinta, kasih dan sayang. Cuma, aku perlu salurkan cinta, kasih dan sayang itu betul pada tempatnya. Bukan sekadar itu, bahkan perlu betul caranya.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solah; dan sesungguhnya solah itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 45)

***
HARI itu adalah hari yang aku tunggu-tunggu. Hari itu, dua hati akan bersatu. Akan sempurnalah separuh daripada agamaku saat aku melafazakan kalimah itu. Hati aku berdebar-debar. Semakin hampir ke tempatnya, hati semakin bergetar. Adakah benar si dia akan menjadi milikku?
Aku mencubit pipi berkali-kali. Ternyata aku bukan bermimpi. Di depan aku tuan imam. Di sebelah aku saksi dan wali. Di suatu sudut, bakal isteri.
“Aku nikahkan dikau dengan Solehah Binti Ismail dengan mas kahwinnya dua ribu ringgit, tunai!”
“Aku terima nikahnya Solehah Binti Ismail dengan mas kahwinnya dua ribu ringgit, tunai!” Sekali lafaz, menghalalkan perkara-perkara yang sebelum ini terbatas.

***
HARI ini, rutin hidup aku berubah. Aku bukan lagi orang bujang yang hidup keseorangan. Di sisiku sekarang ada seorang isteri yang tugasnya membantu suami menghidupkan sunnah Nabi.
“Sebenarnya, abang ada satu rahsia untuk diberitahu,” kataku kepadanya pada suatu hari ketika kami berdua sedang berjalan-jalan di tepi pantai.
“Apa dia? Cakaplah.”
“Dulu, sewaktu abang berada di tingkatan empat, abang mendapat tawaran belajar di sekolah lain yang agak bagus tapi abang tolak tawaran itu.”
“Kenapa?”
“Bagi abang, bersekolah di mana-mana pun sama sahaja. Lihatlah kehidupan kita pada hari ini. Dulu, kita hanya bersekolah di sekolah biasa. Boleh juga masuk universiti. Keluar universiti, dapat juga hidup seperti orang lain. Sama sahaja, bukan?”
Dia tersenyum. “Tapi, mengapa abang tidak menerima tawaran itu? Adakah kerana jawapan tadi?”
“Sebenarnya, waktu itu, abang sudah jatuh hati pada seseorang. Tapi, abang tidak pernah memberitahu dia. Zaman persekolahan bukan masa yang sesuai untuk bercinta. Lagipun, tidak lama selepas itu, si dia berpindah ke luar negara. Sejak dia berpindah, abang terus lupakan perasaan itu. Namun, Allah Maha Berkuasa. Garam di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu juga.”
“Erm. Seperti tahu-tahu sahaja siapa orang itu.” Isteriku menguntum senyum.
“Itulah ketentuan Allah kepada manusia,” balasku sambil tersenyum juga.
“Sebenarnya, ana pun ada rahsia yang hendak diberitahu.”
“Eh, ada rahsia juga? Apa dia?”
“Sebenarnya, orang yang abang minat itu pun sudah lama sukakan abang.”

***
DETIK lafaz ijab dan kabul bukanlah destinasi terakhir untuk aku.
Bagi aku, perjalanan hidup ini masih panjang. Alam perkahwinan sekadar menyempurnakan separuh daripada agama bagi seorang lelaki. Aku masih ada lagi separuh tuntutan yang belum dipenuhi. Perkahwinan adalah sebahagian jambatan untuk menuju ke destinasi tersebut. Jambatan bukanlah tempat terakhir dalam sesuatu perjalanan. Tidak mungkin ada manusia yang sanggup bermastautin di atas jambatan.
Matlamat hidup adalah mencari keredhaan Allah sebelum sakaratul maut datang menjemput. Maka, selepas itu, manusia akan melalui alam barzakh, padang mahsyar, titian sirat dan destinasi terakhir sama ada syurga atau neraka. Di situlah terletaknya destinasi yang kekal abadi.
Selalu aku berpesan kepada isteriku, “Seorang isteri yang berkorban untuk suaminya atas maksud agama, kerana Allah, dia akan masuk syurga lima ratus tahun lebih awal berbanding suaminya. Seorang isteri yang ditinggalkan oleh suaminya ketika keluar ke jalan Allah, maka Allah menjadi Pemelihara yang menjaganya. Orang yang paling bahagia ialah orang yang suaminya keluar di jalan Allah kerana dia bukan hidup dengan kekasih Allah tetapi dengan Allah.”
Itulah yang aku maksudkan, ‘seorang isteri yang membantu suami menghidupkan sunnah Nabi.’
Hidup perlu ada tujuan. Apabila manusia tahu tujuan hidup, dia akan tahu untuk siapa dia hidup. Aku hidup untuk mencari redha Allah. Aku hidup untuk mengajak manusia kepada Allah. Aku hidup untuk menyambung risalah kenabian. Itulah maksud hidup aku.
Sekiranya ada sesiapa yang bertanya, “Boleh kamu perkenalkan diri? Kami mahu berkenalan dengan kamu.”
Aku suka menjawabnya, “Saya umat Nabi. Kerjaya utama saya ialah pendakwah. Saya mencari rezeki dengan sekadar menjadi seorang pendidik penulis.”
Sekian. Selamat berkenalan denganku!

Wednesday, October 3, 2012

Salahuddin

Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN

feri
Ciri-ciri tentera akhir zaman yang akan membebaskan Baitul Maqdis kali ketiga sama seperti ciri-ciri pemimpin mereka ketika Baitul Maqdis dibebaskan pada kali pertama dan kedua iaitu sifat Sayidina Umar dan Salahudin al-Ayyubi:

"Sultan Salahuddin adalah seorang pahlawan yang menghabiskan waktunya dengan bekerja keras siang dan malam untuk Islam. Hidupnya sangat sederhana. Minumnya hanya air kosong, makanannya sederhana, pakaiannya daripada jenis yang kasar. Beliau sentiasa menjaga waktu-waktu solat dan mengerjakannya secara berjamaah. Dikatakan bahawa beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlepas daripada mengerjakan solat jamaah, bahkan ketika sakit yang membawa pada ajalnya, beliau masih tetap mengerjakan solat berjamaah. Sebaik saja imam masuk berdiri di tempatnya, beliau sudah siap di dalam saf. Beliau suka mendengarkan bacaan Al-Quran, Hadis dan ilmu pengetahuan. Dalam bidang Hadis, beliau memang mendengarkannya secara teratur, sehingga beliau boleh mengenal jenis-jenis hadis. Hatinya sangat lembut dan pemurah, sering menangis apabila mendengarkan hadis."

musafir

rojak buah


Monday, October 1, 2012

pahlawan-pahlawan Islam


Batu Feringgi

Mari kita senaraikan pahlawan-pahlawan Islam yang berjaya menakluk:
1 - Baitul Maqdis - Umar al-Khattab, Salahudin Al-Ayyubi..
2 - Cyprus - Muawiyah
3 - Andalusia - Tariq bin Ziyad
4 - Mesir - Amru al-As..
Berikan nama-nama yang lain untuk kita kongsikan...

Apabila isteri tiada di rumah..

Saya suka masak, saya paling suka buat eksperimen masakan =)
suami mula beraksi
nasi impit, sosej, cili kisar, bihun, dll
 
inilah hasilnya!