Tuesday, October 9, 2012

Kisah Menarik!

Khairy Tajudin posted in Peminat Novel Islami
10.10: tarikh lahir Ustaz Ahmad Sidqi katanya
Seorang raja yang zalim telah menangkap seorang ulama. Raja itu berniat mahu membunuh ulama tersebut tetapi dia perlu mencari helah yang relevan. Maka, dia pun berkata kepada ulama itu, “Di sekeliling kamu ini terdapat tiga pintu. Di kiri, di kanan dan pintu utama. Cuba kamu teka, dari pintu manakah beta akan keluar? Jika jawapanmu salah, beta bunuh kamu!”

Jawab si ulama, “Wahai tuanku. Jika tuanku memang sudah berniat untuk membunuh patik, dari pintu mana pun tuanku keluar, patik tetap akan dibunuh. Jika patik teka pintu kiri, nanti tuanku keluar pintu kanan. Kalau patik teka pintu kanan, nanti tuanku keluar pintu kiri. Namun, jika tuanku tidak berniat mahu membunuh patik, tuanku akan keluar melalui pintu mana yang patik teka.”

“Beta tidak kira! Beta mahu kamu teka juga!”

“Baiklah. Jika begitu, izinkan patik bersolat untuk memohon petunjuk daripada Allah.”

Maka, kemudian beliau pun bersolat dan berdoa kepada Allah agar Allah menyelamatkannya. Sejurus selepas itu, beliau berkata, “Tuanku, patik akan meneka. Tapi, patik akan tulis di atas kertas. Tuanku jangan buka kertas ini selagi tuanku tidak keluar daripada istana.”

“Baiklah, beta setuju.” Kemudian, ulama itu pun menulis di atas sekeping kertas. Si raja mulai bingung. Dia tidak tahu jawapan si ulama itu. Maka, dia pun bertanya kepada exco-exconya. “Bagaimana pendapat kalian, pintu manakah beta patut keluar? Beta tidak tahu jawapannya. Jika beta keluar ikut kiri, takut-takut, jawapan dia tulis itu, pintu kiri. Kalau beta keluar ikut pintu kanan, takut-takut jawapannya itu memang pintu kanan. Maka, dia akan terlepas. Padahal beta mahu membunuhnya.”

Maka, seorang exco yang agak cerdik memberikan cadangan, “Tuanku jangan keluar ikut mana-mana pintu. Tapi, tuanku keluar ikut bumbung!”

“Ya! Itu idea yang bagus!” Maka, si raja pun menuruti idea itu. Dia memanjat tangga dan keluar ikut bumbung istana. Tatkala sudah keluar, sambil tersenyum dia pun membuka surat daripada ulama itu. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk mengenakan hukuman bunuh kepada ulama tersebut.

Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati, jawapan dalam surat itu tertulis, “Tuanku keluar ikut bumbung.”

Toing!

(Khairy Tajudin, 14/8/2012)

1 comment:

melesap said...

sebenarnya, Allah SWT telah menyelamatkan ulama tu dengan memberikannya
ilham untuk menulis jawapan seperti dalam kertas itu.

Moral: Selesaikan semua masalah dengan perantaraan solat.

2012/10/10 Khairi Tajudin