Wednesday, May 29, 2024

Pengantarabangsaan bahasa Melayu bukan suatu impian

 Pengantarabangsaan bahasa Melayu bukan suatu impian. Untuk bercakap isu ini, ia memerlukan kepada tiga perkara asas iaitu tujuan, kelebihan dan cara untuk merealisasikannya. Bahasa Melayu sememangnya pernah mencapai tahap lingua franca pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang tidak boleh disangkal dalam lipatan sejarah Tanah Melayu. Ia saling berkait rapat dengan kegiatan perdagangan pada waktu itu.

Bagi mengembalikan pencapaian yang sama, penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu tidak dapat tidak harus bermula di peringkat pendidikan sekolah rendah lagi. Kerjasama institusi keluarga dalam kalangan masyarakat berbilang kaum sangat perlu diberi kesedaran lagi dan lagi dengan pelbagai kempen yang sesuai dengan kemajuan teknologi sekarang. Para pemain media, khususnya golongan pempengaruh memainkan peranan besar dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam setiap kandungan media yang mereka sediakan di saluran masing-masing. Diperkuatkan lagi dengan bimbingan pihak berkuasa, sebagai contoh memudahkan mereka untuk membuat rujukan dan semakan, peranan badan seperti DBP yang giat aktif di media sosial sangat membantu golongan belia terutamanya untuk mengetahui istilah, ejaan dan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Tanpa mengenepikan bahkan memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam urusan-urusan rasmi kerajaan, pihak swasta juga perlulah juga meletakkan bahasa Melayu sebagai syarat utama dalam kriteria mengambil kakitangan mereka. Perkara ini memerlukan masa yang berterusan dan bukan suatu yang mustahil. Justeru, Bahasa Jiwa Bangsa bukan sekadar slogan DBP, bahkan itulah yang sewajibnya menjadi motto hidup kita semua, bangsa Malaysia. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Melentur buluh biar dari rebung, mendidik golongan muda, golongan senior dan pemimpin haruslah menjadi contoh sebagai pejuang bahasa Melayu.

No comments: