Fri, December 28, 2012 12:09 am
Khairy Tajudin posted in RAKAN SEPERJUANGAN
UCAPAN Pierre Andre saat menerima trofi Anugerah
Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 menggegarkan banyak jiwa. Bermacam-macam persoalan
dan andaian juga dibuat. Paling utama, kecenderungan anak sulung pelakon handalan
Khatijah Tan itu terhadap ilmu agama terbuka jelas.
“Ya, benar sekarang saya sedang dalam penghijrahan
untuk lebih mengenal agama dan Allah dan Rasul tetapi hijrah saya ini tidak akan
berlaku secara drastik, saya takut fitnah,” katanya membuka cerita tentang kehidupan
baharu yang sedang dilaluinya ketika ini.
Pierre membuka mulut di pentas yang disaksikan
lebih empat juta penonton dengan kalimah ‘Bismillah.’
“Anugerah paling hebat ialah kalimah
‘Lailahaillallah,’ jagalah kalimah ini dalam diri kita, love Allah dan love Muhammad,” ucap
Pierre dalam majlis itu.
Menghuraikan lagi mesej sebenar yang ingin
disampaikannya, kata Pierre:
“Itu juga satu dakwah daripada saya. Saya memang
minta doa kepada Allah agar jalan dakwah saya dibuka, dan Alhamdulillah saya
diberikan kesempatan. Selama 10 tahun dalam bidang seni, itulah kali pertama saya diberi
anugerah dan itulah siaran langsung pertama yang saya dapat untuk menyuarakan
sedikit dakwah saya,” katanya sambil meneruskan dengan satu pengakuan.
Demi untuk tidak mengelirukan khalayak terhadap
perubahan yang berlaku ke atas dirinya, Pierre mengakui bahawa sudah lima bulan
dia bergerak aktif dengan mengikuti kumpulan tabligh.
“Saya sudah jadi pengarah filem sejak umur 21
tahun. Selama ini saya fikir itulah matlamat hidup saya. Akhirnya saya dapati hidup
saya ‘kosong.’ Saya rasa dibohongi oleh dunia dan saya mula mencari.
“Seorang sahabat ajak saya menyertai tabligh.
Pertama kali mencuba, saya terus jatuh cinta. Setakat ini, sudah empat kali saya keluar
mengikuti aktiviti jemaah tabligh. Biasanya kami keluar selama tiga hari dan bermalam
di masjid dan surau yang kami singgah. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu
hati saya,” katanya menyertai jemaah tabligh di Taman Permata, Ulu Kelang.
Berikut sedikit perbualan Sensasi Bintang bersama
Pierre.
Mendalami agama itu banyak jalannya, kenapa pilih
tabligh?
Orang selalu salah faham terhadap tabligh, tak
kurang juga yang menuding jari masuk tabligh sebagai ikut ajaran sesat. Kita kena
ingat, tabligh itu sifat Rasulullah.
Rasulullah berdakwah selama bertahun-tahun sebelum
turunnya hukum bersolat, puasa dan menunaikan zakat.
Bagaimana pula dengan kerja-kerja seni anda. Dunia
hiburan sendiri dilihat lebih banyak mendedahkan seseorang itu ke jalan negatif?
Mulanya saya fikir begitu, tapi sahabat saya
larang. Saya masih boleh berdakwah dalam bidang filem tapi kena lebih berhati-hati
dalam bab agama. Paling utama kena masukkan unsur dakwah. Sekarang saya tiada karya
terbaharu selain filem-filem yang telah dibikin sebelum saya berhijrah, jadi, jangan
nilai siapa saya ketika dahulu, tapi nilai siapa saya ketika ini.
Mungkin ada perkembangan terbaharu yang lain?
Sekarang saya terlibat dengan projek filem pendek
bersama kawan-kawan, selebihnya (saya) buat kerja-kerja penulisan. Saya mahu
siapkan novel pertama, mungkin judulnya berbunyi Perjalanan Ke Darul Salam. Ia tentang
penghijrahan seorang lelaki yang selama ini hidupnya kosong.
Adakah itu kisah sebenar yang berlaku kepada diri
sendiri?
Tidak juga. Itu pemerhatian yang saya lihat selama
ini.
Bagaimana amalan agama anda sebelum ini?
Selama ini pun saya percaya kepada Allah, tapi
tahap keyakinan itu tidak seperti sekarang. Dahulu, saya Islam kerana dilahirkan
sebagai orang Islam, sekarang saya Islam kerana kefahaman dan keyakinan saya terhadap
agama Allah ini.
Ada sebarang sasaran?
Saya berminat mahu jadi pendakwah. Sebenarnya saya
ada azam. Jika selama ini saya keluar selama beberapa hari sahaja, selepas ini
saya mahu keluar rumah selama 40 hari pula. Kalau diizinkan Allah mungkin boleh
sampai empat bulan dan kalau ada kekuatan mungkin dipanjangkan lagi selama setahun
dan bukan hanya di Malaysia sahaja.
Apa rancangan Pierre dalam tabligh?
Nikah itu sebahagian daripada iman, saya juga mahu
ke arah itu. Bagi saya, pengisian tabligh tidak boleh dilihat secara luaran sahaja,
lihat juga dalaman. Ibaratnya, kalau hendak tinggalkan keluarga selama empat
hari, bekalan yang ditinggalkan juga harus cukup untuk empat hari.
Apa kata kedua-dua ibu bapa anda setakat ini?
Mummy (Khatijah Tan) sangat menyokong keputusan
saya, ayah juga begitu sebab saya bukan buat perkara tidak baik, sebaliknya saya
belajar dan mahu mengenal agama.
No comments:
Post a Comment