Monday, June 10, 2013

Askor

What do you want to be when you grow up?

Masa kecil-kecil dahulu, Ahsan berangan-angan mahu jadi askar. Sekarang orang panggil tentera darat. Namun yang kelakarnya, Ahsan sertai kelab Persatuan Bulan Sabit Merah, siap jadi ketua lagi, mungkin sebab dia Ketua Pengawas sekolah rendah, cikgu terlupa atau sengaja tulis jawatan itu dalam sijil PBSM-nya.

            Masuk sekolah menengah Ahsan sertai pula Kadet Remaja Sekolah. Pangkat paling tinggi Ahsan pegang ialah pembantu komandan iaitu orang yang beri arahan kepada platun untuk buat pergerakan. Pencapaian Ahsan dan rakan-rakan, semasa tingkatan empat, sekolah Ahsan dapat nombor enam daripada enam sekolah yang bertanding, memang sadis.

Namun mereka menunjukkan peningkatan agak mendadak dengan menduduki tangga ketiga keseluruhan daripada semua sekolah yang bertanding peringkat daerah Batu Pahat di Sekolah Teknik BP, tahun 2003. Lagi menarik, komandan mereka, Nor Azhar Uyop menang sebagai Komandan Terbaik. Sekarang anak Pak Uyop itu sudah pun jadi tentera, bukan darat, udara lagi.

Kenangan kelakar Ahsan berkenaan cita-citanya mahu menjadi askar sewaktu dia dan kawan-kawan pergi ke Sekolah Tinggi Batu Pahat untuk menghadiri temuduga memasuki Maktab Tentera Diraja tahun 2002. Waktu itu, ada empat orang dari sekolah Ahsan yang pergi temuduga terbuka tersebut. Mak Ahsan siap buatkan surat rasmi tulisan tangan lagi suruh beri pada cikgu minta cuti. Terharu Ahsan mengenangnya.. isk.

Maka saringan demi saringan pun bermula. Pertama jika tidak silap, mereka lihat tarikh lahir. Sekali kawan Ahsan yang pertama tersingkir berpunca umur yang tidak cukup matang. Kasihan. Sekarang ini dia juga sudah menjadi tentera macam anak Pak Uyop tadi.

Penyingkiran kedua, kawan Ahsan yang kini menjawat tugas guru di Kepulauan Borneo. Punca penyingkiran paling kelakar, saiz lilit dada terlebih. Bukan sasa, tetapi hahaha! Jangan marah ya tuan punya badan, nanti kena jual. Memang sadis dan lucu pun ada juga.

Seterusnya, Adek selaku anak komando. Saiznya genit tetapi penuh semangat kepahlawanan. Alasan tersingkir, tapak kaki tidak rata. Entah betul, entah tidak. Layan. Sekarang juga berkeperluan sebagai tentera, yang ini darat, macam bapanya.

Hero of the story, dont need to be saved.. Ahsan. Semua saringan asas, Ahsan pejam mata walau hakikatnya terkebil-kebil. Tiba ujian fizikal, ini yang merisaukan Ahsan. Seorang wakil MTD bersuara kepada calon-calon yang hanya berseluar panjang waktu itu. Tidak ingat saringan yang mana, mereka dipinta buka baju masing-masing. Mungkin semasa nak ukur lilit dada tadi. Abaikan.

“Kepada sesiapa yang ada sakit lelah, asma, semput dan yang sewaktu dengannya, sila keluar dari barisan. Berdiri di hadapan. Apa-apa yang berlaku selepas ini jika tak mengaku sekarang, kami tak akan bertanggungjawab!”

Ahsan menelan liur. Dengan badan sekeping waktu itu, masing-masing berdiri tak pakai baju macam dalam filem Rock Oo, angin terasa dan-dan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dingin menggigilkan sedikit badan Ahsan disebabkan arahan berbaur ancaman daripada pegawai itu tadi. Ahsan nekad, ini kalilah dia perlu bertahan hingga titisan darah terakhir. Cewah!

Dalam sepi menunggu tiada siapa keluar, pegawai tadi terus buat provokasi kepada para pesakit yang masih bersembunyi dalam barisan. Alahai.. seorang budak lelaki entah dari mana asal-usulnya berjalan lenggang keluar barisan. Ahsan? Menurut macam robot.

Inilah yang dipanggil menyerah kalah sebelum berjuang. Full stop.

Mak Ahsan sebenarnya pun suka Ahsan jadi askar, sebab askar selalu pakai kemas dan tajam, uniformnya memang terbaik, memang tabik! Apakan daya, Ahsan kembali meneruskan hari-harinya sebagai pelajar Sains tulen di Sekolah Munsyi Sulaiman, SMS. Ada yang cakap Sekolah Murid Samseng. Samsenglah sangat.. tapi yang pasti bukan Sekolah Menengah Sains.

Kaunselor di sekolah agak tidak membantu, mungkin juga sebab Ahsan yang tidak bertanya spesifik. Diisinya Ahsan borang UPU dengan pilihan bidang Komunikasi dan Pengajian Media. Ahsan agak-agak perkataan media ada kaitan dengan cita-citanya kali ini yakni jurukamera, bukan jurugambar. Cameraman not photographer.

Kenapa Ahsan pilih jurukamera? Dulu masa sekolah, Ahsan bukan jenis bersosial. Balik rumah, tonton TV. Itulah rakannya pada kebanyakan masa terluang. TV waktu itu ibarat Internet untuk Ahsan terokai dunia luar Malaysia. Dalam banyak-banyak rancangan, Ahsan tersangkut pada satu rancangan realiti, pasal orang yang rakam peristiwa tragik pada waktu yang tidak diduga. Sekarang ini banyaklah rancangan sebegini.

Impian jangka panjang Ahsan, dia mahu bertugas sebagai jurukamera National Geographic, mahu orang lihat dunia menerusi kaca matanya. Macam orang yang duduk dekat padang pasir, rakam ekologi yang berlaku di situ. Itu yang Ahsan mahu dulu.

Masuk kelas Masscomm, Ahsan lambat diberi pegang kamera. Ada pun waktu jadi bidan terjun buat video klip lagu waktu semester lima. Semester sebelum itu, Ahsan ditemukan dengan subjek penerbitan, lalu bunga-bunga cinta pun berputik di situ.

Ahsan nampak kepentingan medium penerbitan, lagi spesifik medium penulisan waktu itu. Baginya, berbanding dengan penyiaran, perhubungan awam dan pengiklanan, penerbitan lebih selamat untuk dia ceburi jika mahu meneruskan misi dakwahnya. Ini kerana orang alim pun menulis juga, menulis kitab.

Walaupun zaman berubah, buku fizikal terhapus sedikit demi sedikit, orang akan terus membaca walau berbeza mediumnya. Jadi Ahsan meneruskan misi penulisan dakwahnya. Asalnya, jiwa Ahsan ialah jiwa komik. Masih lagi sebenarnya. Orang yang banyak pengaruhi tulisan Ahsan waktu itu ialah Nazim Masnawi.

Lalu sewaktu mohon kerja dahulu, Ahsan ada dua pilihan, masuk penerbitan komik atau penerbitan Islamik. Ahsan pilih penerbitan Islamik. Itu lebih baik walau nafsunya tidak berapa setuju. Dilantik sebagai editor buku kreatif, lebih kerap dikenali dengan jawatan editor novel, Ahsan terpanggil untuk menulis novel dakwah.

Rezeki buat Ahsan, dia bergabung, meletup dengan kawannya, Azlan Ismail menghasilkan buku pertama mereka, Eee... Sayur! Inilah novel pertama Ahsan walau tidak sepenuhnya sendiri hasil cakap-cakap orang yang bercakap, “Awok ralit edit buku orang, buku awok mana?”

“Alhamdulillah..” gaya protagonis Tanah Kubur setiap musim, “Dah dua kali cetak pun buku sayur saya dan Tuan Azlan.. alhamdulillah..” masih dengan intonasi yang sama.

Buku pertama Ahsan ini ada banyak agendanya. Pertama, didedikasikan untuk isterinya yang tidak makan sangat sayur. Kedua, sebagai jarum untuk pengenalan nama Resha Hamzah dan Azlan Ismail. Ketiga, berdua lebih baik.. alasan.. bukan alasan, tetapi bantuan Allah dalam jemaah. “Hmm.. masih lagi alasan..” muka gaya meme.

Keempat, Ahsan mahu beritahu orang awam yang berminat mahu tulis buku, “Tuan ada idea tapi tak tahu tulis, tuan tahu tulis tapi tak ada idea, apa lagi tunggu? Bergabung, meletuplah!”

Kelima, novel sayur Ahsan dan Azlan beritahu secara halus, topik novel kanak-kanak bukan setakat di sekolah. Apa saja yang merisaukan ibu bapa, angkatlah jadi tema. Kes buku sayur jelas, mahu elak obesiti. Ahsan bersuara selamba, “Ini zaman IT bai, semua di hujung jari. Tak mahulah jadi macam filem Wall E. Eee... Sayur!”

Ahsan selalu buat tawaran, tulislah atas dasar pengalaman. Dia sendiri minat dengan filem yang berdasarkan kisah benar. Usia makin meningkat, benar yang benar perlu lagi selalu didengar. Cukup-cukuplah zaman Superman, akhirnya masuk kubur juga. Pesan Ahsan sebagai kata kunci kepada para penulis dan agen-agen yang sedang membaca, “Cita-cita biar bijak sana.”

No comments: