Apa cita-cita kamu kahwin?
Beberapa miggu lepas, Ahsan dihubungi sepupunya, Alea. “Assalamualaikum San. Can you do me a favor?”
“Insya-Allah boleh, apa dia?”
“Tolong jadi saksi borang nikah Alea Ahad ni, malam around nine pm. Okey tak?”
Ahsan okey saja. Bahkan itulah yang dia mahu buat. Dia pasang angan mahu jadi pemudah urusan nikah orang lain, contoh macam wakil keluarga yang bercakap bagi pihak bakal mempelai. Dia lihat, ramai yang tidak berani ke depan bab-bab yang hak ini. Jika pasal bab tidak berapa hak, tanpa silu laju saja tanpa diusul. Antara alasan klise, tidak layak dan tidak bersedia.
Bagi Ahsan, jika tidak sediakan diri, sampai bila-bila pun tidak layak. Jadi, bilamana ditawar sebegini, inilah masanya untuk belajar. Sifir Ahsan mudah, ambil peluang yang diberi untuk tambah pengalaman.
Dipendekkan cerita, malam kejadian pun tiba. Ahsan berteman isteri di sisi sampai awal ke masjid yang dimaksudkan. Tengok keliling gelap, Ahsan pandu lalu keluar masjid, nampak cahaya benderang dari bangunan sebelah.
"Sekali bukan masjid daa.." Ahsan nampak dua buah kereta masuk kawasan masjid tadi. "Ha, tu kot dorang.."
Ahsan menyapa Pak Ali, “Assalamualaikum Pak Ali, kitorang dah sampai dah tadi, tapi tengok masjid gelap je, tu yang keluar balik. Ingatkan ada masjid baru kat sebelah tadi. Sekali..”
“Kuil da..” sampuk isteri Ahsan.
“Bukan main lagi terang lampu dia pasang.”
“Tu la pasal..” isteri Ahsan punya suara juga.
“Oh, korang dah sampai dulu.. ya la, sini kan bekas estet, ramai India, sebab tu kuil dia meriah lain macam tu.”
Kata Pak Ali, sepatutnya janjitemu dengan ustaz dalam 9.30, kami sampai awal 15 minit kurang lebih.
Lebih kurang 45 minit kemudian..
“Apa cerita ni sayang? Takkan ngeteh sampai lupa ada orang tunggu dia? Jangan tengok gusti sudah..” bisik Ahsan kepada isterinya. Tadi masuk 9.30, Pak Ali telefon ustaz beritahu yang kami dah sampai. Dia cakap pergi minum dengan kawan. Jadi kami pun tunggulah.. tetapi jika dah lewat setengah jam, pelajar pun angkat kaki dari dewan kuliah. Ini dah nak masuk sejam menunggu, mengenangkan nak kahwin, kami turutkan penungguan.
Alea dah mula kurang senang, “Dad, should I call him again now? Just let he knows that we’ve been here waiting for him.”
Mulanya Pak Ali malas nak layan saranan anaknya itu, tidak manislah seakan mendesak ustaz, tetapi selepas dua tiga kali diminta, dia pun hubungilah lagi ustaz tersebut. Al-kisah, si ustaz sudahpun menunggu di rumahnya. Hmm.. communication breakdown. Syaitan punya kerja.
Sampai di rumah ustaz, mereka berenam pun masuk selepas beri salam dan dipersilakan oleh tuan rumah. Ustaz masuk ke ruangan rumahnya yang kami tidak tahu bilik atau dapur. Mereka terus duduk tanpa dipersilakan. Mungkin sebab lama sangat tunggu tadi di masjid.
Ustaz cakap kepada Pak Ali, “Kenapa tak duduk?”
Mak Alea tolong jawabkan, “Dia tak boleh duduk, nanti susah nak berdiri.”
Alhamdulillah ustaz faham. Diberinya kerusi untuk duduk. Karektor ustaz mula nampak dengan hikmah tidak kisah orang lain duduk lagi tinggi dari dia. Mungkin dah biasa jumpa situasi begitu. Yalah, ada saja di mana-mana masjid atau surau ahli jemaah yang solat atas kerusi. Terus kepada ustaz, “Saya ni dah biasa orang datang rumah lewat malam pasal nak urus borang nikah ni. Selalunya lepas ngajar kat surau, dorang sediakan jamuan, kita pun jamulah. Lepas tu masa makan, banyaklah soalan dorang nak tanya, masa kuliah tadi segan. Tu yang lama sikit tu. Maaflah ya.”
Ahsan rasa bersalah teramat kerana bersangka buruk dengan ustaz tadi. Adakah patut digustikannya ustaz tadi. Istighfar nasuha kau San.
“Insya-Allah, ni mana satu yang nak kahwin ni?” soal ustaz.
Alea angkat tangan dengan muka ceria.
“Kenapa kamu nak kahwin?”
Alea tunduk bawah sekejap, lalu bersuara dengan penuh yakin dan lancar, “Pasal saya rasa saya dah sedia untuk kahwin.”
Ustaz sekadar mengangguk. Tengah asyik tengok dokumen dan isi itu ini dalam borang, ustaz ajukan soalan lagi kepada Alea, “Apa cita-cita kamu kahwin?”
Serius. Soalan yang ini buat semua orang dalam ruang tamu ustaz yang tidak berapa besar itu seakan semakin mengecil. Ustaz mengulang tanya dan angkat kepala pandang Alea, “Hmm, apa cita-cita kamu kahwin?”
Pak Ali bantu menyoal, “Ha, Alea, jawablah.”
Alea masih dengan dahi berkerut. Akhirnya, “Ustaz tanya ni bukan apa, ustaz kalau kamu semua nak tahu, tolong urus bab-bab nikah cerai ni. Pasal banyak kes orang kahwin sekarang, tak sampai empat lima tahun dah cerai. Itu yang ustaz nak tahu apa cita-cita kahwin, nak ada anak ke, nak apa ke. Pasal yalah, macam ustaz dulu, ustaz punya cita-cita kahwin, nak anak ramai, semua belajar pandai-pandai, pastu kerja bagus-bagus, nanti boleh jaga ustaz ngan isteri ustaz. Alhamdulillah, Allah mudahkan cita-cita ustaz tu. Anak-anak pun dah besar, dah kerja, ada pun yang dah kahwin.
“Dia apa-apa pun kena ada cita-cita, baru kita boleh rancang perkahwinan kita tu. Lagi ustaz nak kongsi dengan kamu semua, baru ni ada kes sorang suami ngadu kat ustaz, isteri dia mintak cerai, dia gaji empat ribu, isteri dia gaji sepuluh ribu. Kat rumah isteri dia cakap kat anak dia yang darjah enam ni, nanti beritahu ayah mak nak kahwin dengan pak cik kat depan tu.
“Bila bapak dia balik rumah, anak dia ni pun cakap kat bapak dia macam yang mak dia suruh tadi. Bapak dia pun tanyalah, kamu ni betul ke? Mak dia nyahut dari dapur, betullah tu bang. Saya dah tak ada hati kat abang.. Lagi satu kes, si isteri nak sambung belajar kat New Zealand. Suami pulak tak mampu nak tanggung. Ayah isteri ni mampu, pendek cerita dia pun pergilah belajar.
“Lepas balik enam bulan belajar sana, dia cakap kat suami, saya dah tak serasi dengan awak. Amboi ustaz cakap, kamu dulu bercinta berapa lama sebelum kahwin? Laki tu cakap enam tahun. Haii.. takkan bercinta enam tahun boleh serasi, belajar enam bulan dah tak serasi. Laki tu jawab, entahlah ustaz, saya kalau boleh taknak cerai, mengenangkan anak kami, tapi dia dah nak sangat, saya pun tak tahu nak buat apa lagi..
“Yang ada pulak kes dia macam ni, laki datang ngadu kat saya, dia nak kahwin lain. Sebabnya dia beritahu, saya ni lelaki, dan saya ada keinginan. Jadi ustaz, isteri saya ni, payah sangat nak bagi. Kadang dapat, kadang tak dapat. Bila dapat tu pun, lepas dia dah bebel panjang, baru dapat. Jadi ustaz pun paham rasanya, saya ni berkeinginan. Pasal tu saya tak boleh teruskan dengan isteri saya.
“Astaghfirullahal ‘azim.. macam-macam lagi sebenarnya kalau ustaz nak cakap ni, tapi tu la, ustaz bukan nak menakutkan kamu, ustaz cuma nak peringat. Kahwin ni bukan benda mudah. Kalau sebelum kahwin pun kamu dah gagal dengan ujian Dia, tak tahulah..”
Semua tunduk. Terasalah itu gamaknya pasal ujian Tuhan sejam menunggu tadi.. huhu..
“Kamu ni kira baguslah, datang pakai tudung. Ada tu datang tak pakai tudung, pakai tak berapa kena, ustaz tegur, kamu ni nak kahwin, datang rumah ustaz, hormatlah sikit. Bapak dia terus marah.. Tu la! Kan bapak dah cakap tadi!
“Macam-macam.. ada tu, macam kamulah, ustaz lambat, dia punya marah, datang rumah tak bagi salam, lepas masuk isi borang apa semua, terus balik macam tu je.. haii.. ustaz pun tak faham diorang ni.
“Jadinya ustaz nak beritahu ni, kita kena lihat balik apa tujuan kita kahwin. Balik semula kepada agama. Punca cerai ni kadang satu je.. ego. Masing-masing tanak tolak ansur. Lagi satu punca yang ramai tak sedar atau tak perasan, lepas tu ambil mudah.. bab mandi wajib tak sempurna. Bila dah tak sah mandi, apa ada dalam rumah? Jin ngan iblislah.
“Jadi, balik semula kepada agama. Banyakkan bertanya ilmu rumah tangga. Pergi kelas agama bersama, tolak ansur suami isteri, jangan berkira, dan ilmu agama tu kena sentiasa cari dan belajar.”
Terbaik! Inilah hikmah apabila kita sedia buat perkara hak, dalam situasi ini, Ahsan jadi bidan terjun saksi borang nikah. Sebelum ini memang Ahsan tercari-cari kuliah yang boleh dia dan isteri duduk bersama dengar nasihat bab rumah tangga. Alhamdulillah, terkabul juga doa Ahsan malam itu. Inilah dia yang diberitahu orang alim, apabila kamu amal ilmu yang kamu tahu, Allah akan ajar kamu ilmu yang kamu tidak tahu. Ada yang panggil ia dengan nama ilmu ladunni. Wallahu a’lam.
Malam itu Ahsan senyum puas. Ilmu yang dia amal ialah, mudahkan orang lain. Ilmu yang dia dapat antaranya, cari dan cari lagi ilmu agama bersama isteri di sisi ke taman-taman syurga yang tersedia percuma.
Betul. Dalam kahwin, sabar paling perlu. Memang patutlah banyak birokrasi. Selepas kahwin itulah ujian sebenar. Justeru Ahsan tabik orang yang berkahwin. Andalah pemenang! Separuh agama sudah disempurnakan. Percantikkan dengan sunnah. Lalu, nikahwin!
No comments:
Post a Comment