Sunday, June 9, 2013

Suicide note

Kerja rajin tapi gaji tak naik-naik
 
Ahsan baru lepas solat Isyak.Bbersebelahan surau, tempat cuci kereta. Petang tadi sebelum maghrib dia hantar kereta ke situ. Kata orang kedai, lewat sikit basuh, lepas maghrib pasal banyak kereta. “So bila siap? Lepas isyak?” Orang kedai cuma senyum. Lepas isyak Ahsan datang semula, keretanya sedang dilap. Nampak lagi satu kereta, duduk dua orang perempuan tak jauh dari kereta itu, keretanya sedang divakum. Maknanya dah nak siaplah itu.
 
“Sangka baik San, dia mungkin lagi awal hantar daripada kau,” bisik malaikat nak cetus husnuzon. Bukan apa, kadang begitulah, pantang tiada tuan kereta depan mata, walhal kereta itu hantar dulu, suka-suka dikemudiankan. Bukan bab cuci kereta saja, burger, fotostat dan lain-lain. Jika ada alasan yang munasabah bolehlah dikecualikan. Jadinya Ahsan menunggulah keretanya siap dicuci. redha. bukan nak ke mana-mana pun nak cepat-cepat.
 
Datang seorang budak lelaki, yang sedari tadi di surau Ahsan asyik perhati. Dalam hati cakap, “Bagus budak ni, muda-muda rajin pi surau.” Dia tegur, “Assalamualaikum ustaz, saya ada masalah sikit nak tanya ni. Saya baru masuk Islam, bukan nak minta derma ke apa, cuma kebelakangan ni, ujian saya bertimpa-timpa. Macam mana saya nak tingkatkan iman, kuatkan iman saya tabah hadapi ujian-ujian ni?”
 
Ahsan biasa digelar begitu. Ustaz. Walaupun dia bukan ustaz, dia rasa itu doa orang untuk dia. Jadi tugas dia untuk ke arah itu. Aminkan saja. “Kamu dah lama masuk Islam?”
   
“Baru je dua tahun.”
   
“Lama gak tu, famili tahu dah? Dorang okey tak?”
   
“Tahu.. pasal tak okeylah saya tanya ustaz ni.”
   
Ahsan jernihkan suasana, “Saya bukan ustaz, saya Ahsan. Kamu siapa nama?”
 
“Yusuf Islam.. okey bang, macam ni, bos tempat saya kerja tu bagi gaji sikit. Alasannya pasal saya tak tahu buat kerja lain.”
 
“Kamu kerja kat mana? Berapa dia bagi?” soal Ahsan persis pakar kaunselor. Memang satu masa dulu, waktu pecah ais dekat satu program perkhemahan dengan pelatih Kesatria Negara, Ahsan selaku komander, kenalkan diri. Dalam sesi pengenalan itu, Ahsan cakap, “Hobi saya nasihat orang.” Macam bagus.. apa ada hal. Baginya, sharing is caring. Dekat dunia inilah kita nak ambil berat pasal orang lain, dekat kubur dengan mahsyar baru nafsi-nafsi.
 
Budak tadi jawab, “Kat kilang perabot depan tu, dia bagi empat ratus ringgit, orang lain dapat sembilan ratus.”
 
“Kamu buat apa je? Rumah katne?” bual Ahsan macam dah lama kenal.
 
“Saya cuma jadi tukang cuci, sapu-sapu bersihkan kilang. Rumah tinggal dengan pekerja lain. Ni bos ada tolak apa entah, gaji makin sikit. Saya ni bang kadang-kadang ada hulur duit kat famili dalam lima puluh macam tu. Okeylah sikit mak saya bila saya bagi duit.”
 
“Kamu kampung mana?” kereta Ahsan masih belum siap cuci. Cantiklah itu, tiadalah sia-sia sangat masa bazir begitu saja, ada hikmah Allah hantar budak lelaki sembang dengannya.
 
“Sabah. Tadi petang saya sampai terfikir nak minum clorox. Rasanya kalau saya buat camtu dah mati dah malam ni. Pasal tulah saya datang surau, saya solat, minta Allah kuatkan hati.”
 
Kali pertama dalam hidup Ahsan, satu orang datang beritahu sebab dia nak bunuh diri. This is real. Ahsan masih dengan riak selamba, kali ini mula menasihat, “Betullah apa yang kamu buat ni. Datang rumah Allah, mengadu kat Dia. Semua orang ada masalah, dan Allah uji atas kemampuan. Kalau kamu mati tadi, kat sana lagi kamu terseksa. Ada ustaz cakap, sabar ni kejap je, mati nanti habislah. Takyah sabar dah waktu tu. Kalau saya cakap saya faham masalah kamu, saya tipu. Pasal saya tak rasa. Saya cuma boleh cakap saya tahu masalah kamu. Pasni jangan buat benda pelik-pelik. Allah sayang kamu, tu pasal Dia uji. Kamu pernah dengar cerita pasal satu orang yang mengadu macam kamu ni?”
 
“Pasal apa bang?”
 
“Cerita dia camni, satu orang ni cakap kat orang alim, aku tak ada apa-apa, macam mana nak bersyukur? Orang alim tu balas, kamu boleh buang air tak? Orang tadi cakap boleh. Itupun nikmatlah tu, ada orang tak boleh nak buang air, orang alim tu cakap. Nak beritahu kamu, nak belajar sabar dan syukur ni, kita kena tengok orang lagi rendah dari kita. Cakap senanglah kan, tapi tula, sabar je la. Sabar dan solat insya-Allah. So sekarang kamu nak buat apa ni?”
 
“Tu la apa saya buat bang, datang surau ni solat hajat. Ada hikmah Allah jumpakan kita malam ni.. lagi satu, saya nak tanya, abang takde ke kerja kosong? Kat tempat abang kerja ke? Saya nak tukar kerja la bang. Tak tahan saya kat sini. Kalau takde, saya fikir nak pergi Johor, jumpa balik ustaz tempat saya masuk Islam dulu.”
 
“Macam nilah, ambil nombor handphone saya.” Lepas budak itu ambil nombor telefon, Ahsan terlintas, budak ini dah makan atau belum. Tadi dekat rumah bukan main lagi kenyang Ahsan makan. Bab ini Ahsan teringat pasal satu orang yang dituntut di akhirat pasal dia tidur kenyang walhal jiran dia tidur kelaparan. Itu baru bab makan makan, belum lagi bab iman amal yang lain. Jiran itu pula bukan takat yang sebelah rumah, jiran itu termasuklah saudara seagama yang lain. Sudah tertulis rasanya not merah dalam kocek Ahsan untuk budak dia sembang sekarang. Hikmah ada dua keping, satu bayar cuci kereta, satu belajar-belajar sedekah dekat orang.
 
“Kamu dah makan belum?” Budak itu segan-segan geleng. “Nah duit, pergi makan, pastu balik rumah, tidur. Papehal sms je, takyah call.”
 
“Terima kasih bang..”
 
“Sama-sama, benda-benda macam ni kadang tak boleh simpan sorang. Kena ada orang dengar, dah puas ngadu kat Allah, kita yang jenis lemah ni masih perlukan orang depan mata untuk dengar. Lagi sekali nak beritahu, jangan buat benda pelik-pelik. Allah tu ada. Assalamualaikum.”
 
Budak itu pun berlalu. Tak lama selepas itu kereta pun siap cuci. Ahsan merenung jauh. Dia terkenang satu benda. Benarlah Allah Maha Tahu. Waktu dia rasa dia sedang diuji dengan kewangan famili yang sedang membesar, Allah hantar satu budak berkongsi dengan dia pasal masalah hidup. Teruk-teruk kita, ada orang lagi teruk ujiannya.
 
Merungut kerja banyak, gaji sikit. Ada orang gaji lagi sikit.
 
Merungut isteri suka bebel. Untunglah, ada juga yang sudi kahwin dengan kita. Ada orang keluarga sudahlah jauh, kawan pula tiada.
 
Soalnya, syukurkah dengan nikmat? Sabarkah dengan cubaan?
 
Layan dengan iman.

No comments: